Header Ads

Loading...

Perbaiki kelemahan Umno, rakyat mahu reformasi politik


KUALA LUMPUR - Suara ahli-ahli Umno dan rakyat yang mengharapkan perubahan sosial dan reformasi politik telah begitu lama kedengaran dan menjadi semakin lantang.

Loading...

Memetik laporan Astro Awani, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ia jelas terkesan selepas keputusan Pilihan Raya Umum yang lalu tidak lagi memihak kepada Umno dan juga Barisan Nasional (BN).

“Kini tiba masanya kita sebagai ahli-ahli Umno untuk memperbaiki kelemahan kita dan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memperbetulkan apa jua kelemahan kita yang lalu.

“Umno perlu mendengar rintihan rakyat dan tidak lagi berterusan hidup di dalam kegemilangan masa dahulu.

“Inilah masanya bagi kita merubah cara pendekatan kita kepada rakyat dan tidak lagi berfikir bahawa rakyat harus perlu sentiasa merasa terhutang budi kepada Umno dan BN,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Johari yang juga Ketua Umno Titiwangsa turut mengumumkan hasrat bertanding bagi jawatan Naib Presiden Umno di dalam Pemilihan Pucuk Pimpinan Parti Umno yang akan berlangsung pada 30 Jun 2018 ini.

Tegasnya, Umno kini sedang berdepan dengan perkembangan arus politik negara era baru di mana corak pemikiran dan kehendak rakyat telah pun berubah menjadi lebih kompleks dan pelbagai.


“Umno adalah sebuah parti nasional dan merupakan tunjang kepada parti BN. Maka ia perlulah juga menjadi sebuah parti tarikan kepada golongan muda serta bersedia untuk menjadi suara dan aspirasi mereka. Inilah di antara cabaran-cabaran dan isu-isu yang perlu Umno hadapi di masa yang mendatang ini.

“Saya percaya bahawa asas Umno yang kukuh dan juga daya-tahannya selama ini dalam menghadapi apa jua cabaran dan krisis menjadikan Umno sebuah parti yang masih lagi dihormati oleh  pihak lawan.

“Sebagai sebuah parti pembangkang yang baru, Umno harus terus menjadi saluran bagi suara rakyat untuk memperjuangkan hak-hak Rakyat di dalam menghadapi arus pembangunan ekonomi dan negara,” jelasnya.

Johari menjadi ahli Umno sejak dari tahun 1988, Ketua Bahagian Umno Titiwangsa selama lapan tahun, Ahli Majlis Tertinggi Umno dan juga wakil rakyat selama lima tahun.

Beliau juga merupakan Menteri Kewangan II bagi tempoh 21 bulan dan terlibat di dalam dunia korporat selama lebih 25 tahun.

-sinar harian

No comments

Loading...