Header Ads

Pemilihan kepemimpinan UMNO bermula

(DARI kiri) Khairy, Ahmad Zahid dan Tengku Razaleigh ketika Debat Presiden UMNO 2018 disiarkan Astro Awani di Kuala Lumpur, malam tadi.

MESYUARAT perwakilan dan pemilihan UMNO peringkat bahagian dan Majlis Tertinggi (MT) bermula hari ini dengan tumpuan pastinya terarah kepada perebutan jawatan presiden parti itu.

Lima calon sebelum ini diumumkan bertanding bagi jawatan nombor satu parti itu termasuk trio utama iaitu Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah, Naib Presiden yang menjalankan tugas presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Ketua Pemuda yang juga Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin.

Loading...

Dua lagi pencabar kerusi berkenaan yang kurang dikenali ialah ahli UMNO Bahagian Bandar Tun Razak Mohamed Iqbal Maricair dan ahli UMNO Bahagian Iskandar Puteri Mohd Yusof Musa@Jamaluddin, turut dinamakan sebagai calon bagi jawatan itu.

Mesyuarat perwakilan UMNO bermula 9 pagi hari ini serentak di 191 bahagian dengan agenda utama hanya untuk memilih barisan kepemimpinan di peringkat bahagian dan MT bagi sesi 2018-2021.

Bagi jawatan timbalan presiden pula, ia bakal menyaksikan persaingan di antara Ahli MT Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa.

Tujuh calon lagi akan bertanding merebut tiga jawatan naib presiden iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin, Sheikh Razali Sheikh Hamad, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Datuk Seri Ahmad Said.

Seramai 106 calon pula akan bertanding merebut 25 jawatan sebagai ahli MT.

Perwakilan pada mesyuarat hari ini akan melakukan pengundian bagi memilih barisan kepemimpinan peringkat bahagian.

Keputusan pemilihan jawatan tertinggi peringkat pusat dijangka diperoleh dan diumumkan pada sebelah malam oleh Ibu Pejabat UMNO, manakala keputusan peringkat bahagian akan diumumkan Pengerusi Tetap bahagian.


Sebelum ini, beberapa keputusan peringkat bahagian membabitkan jawatan Ketua Bahagian diumumkan antaranya termasuk bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi yang menang tanpa bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Pekan.

Sabtu lalu, UMNO mengadakan mesyuarat perwakilan dan pemilihan bagi sayap Wanita, Pemuda dan Puteri.

No comments

Loading...