Header Ads

Loading...

'Pembatalan HSR kurang beban hutang negara'


KEPUTUSAN membatalkan projek Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dilakukan bagi meringankan beban rakyat menerusi pengurusan kewangan negara yang cekap.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan itu wajar seiring manifesto Pakatan Harapan yang mahu mengutamakan kesenangan rakyat.

Loading...


Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, kerajaan memutuskan untuk membatalkan projek mega tidak berfaedah yang boleh menyebabkan negara terpaksa menanggung hutang yang besar jika diteruskan.

“Macam batal projek kereta api laju (HSR) bernilai RM124 bilion, yang nak singkatkan perjalanan satu jam sahaja, projek tidak berfaedah... urusan lebih afdal yang perlu didahulukan adalah menentukan rakyat kita hidup lebih senang.

“Nak buat Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bernilai RM66 bilion. Kalau hasil (HSR dan ECRL) berbilion tak apa, tapi sebaliknya hutang sahaja. Maka Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) buat keputusan tidak payah buat.

“Ini sama macam isteri suruh buat rumah mahal tapi kita tiada duit, bila pinjaman tak buat akhirnya rumah kita akan dilelong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan ringkas sempena majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan peringkat Kota Setar di Masjid Alor Mengkudu, Alor Setar, malam ini.


Pada majlis itu, seramai 1,271 terdiri daripada golongan wira yang tidak didendang iaitu guru al-Quran kampung, bidan kampung, jurumandi jenazah, penggali kubur dan tok mudim diraikan dengan menerima sumbangan barang keperluan dan wang tunai.

Turut hadir, Menteri Besar Kedah merangkap Timbalan Presiden PPBM Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Muhyiddin berkata, sebelum ini Perdana Menteri memaklumkan hutang negara cukup banyak sekali gus memerlukan pengurusan kewangan negara yang cekap.

“Kita (kerajaan) perlu kumpulkan hasil negara untuk selesaikan bebanan yang diambil alih daripada kerajaan lama. Ini memerlukan kebijaksanaan luar biasa.

“Kerajaan kini yang dipimpin seorang pemimpin yang luar biasa kerana umurnya, jika dibandingkan saya dan Datuk Seri Mukhriz.

“Beliau (Dr Mahathir) seorang yang rajin hingga bekerja keras bersama-sama jemaah dalam kerajaan dengan memikirkan bagaimana mahu membantu mengatasi bebanan kos sara hidup. Kena cari jalan bagaimana nak selesai masalah rakyat,” katanya.

-mymetro

No comments

Loading...