Header Ads

Loading...

Pelantikan Najib Asaddok sebagai penasihat pemasaran MPPN ditangguhkan


PUTRAJAYA - Pelantikan jurulatih pemasaran dalam talian terkenal, Najib Asaddok sebagai penasihat pemasaran di dalam Majlis Penasihat Pertanian Negara (MPPN) ditangguhkan, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub.

Beliau berkata keputusan itu dibuat setelah berbincang dengan Najib mengenai laporan-laporan dan komen-komen di media sosial berhubung pelantikannya.

"Maka, secara tulus hati, beliau telah bersetuju untuk menangguhkan penyertaannya dalam MPPN bagi memudahkan dan memberi peluang kepada saya sebagai menteri untuk menjalankan penyiasatan dan penelitian terhadap tuduhan-tuduhan yang dikenakan terhadap beliau.

Loading...


"Ini merupakan kata sepakat yang telah kami capai untuk kebaikan bersama," kata Salahuddin dalam kenyataan, di sini hari ini.


Menurutnya, pelantikan Najib sebagai penasihat MPPN sebelum ini dibuat berdasarkan latar belakangnya sebagai seorang jurulatih pemasaran dalam talian.

Salahuddin berkata MPPN merupakan sebuah badan penasihat dalam pembangunan pertanian negara dan bertujuan untuk menjana idea ke arah memperkasa dan meningkatkan produktiviti pertanian dan industri asas tani bagi meningkatkan sumbangan terhadap pendapatan negara dan rakyat.

Anggota MPPN dilantik daripada pelbagai kemahiran dan tidak terhad kepada bidang pertanian sahaja.

"Sesetengah ahli MPPN diambil luar daripada bidang pertanian agar idea-idea baharu dan segar dapat diterapkan untuk menambah baik fungsi dan perkhidmatan kementerian," kata Salahuddin.

Pelantikan Najib semalam dipertikai oleh beberapa pihak di media sosial yang rata-rata mempersoalkan latar belakangnya yang tiada kaitan dengan bidang pertanian.

Selain Najib, Salahuddin semalam turut menamakan Pengarah Eksekutif Leong Hup International Sdn Bhd Tan Sri Francis Lau Tuang Nguang serta Pengarah Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan Prof Datin Paduka Dr Fatimah Mohd  Arshad sebagai anggota majlis berkenaan yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Abdul Rahman Mamat. - Bernama

No comments

Loading...