Header Ads

'Pelamin anganku lori tiga tan...'

MOHAMMAD Azmirulniza, dan pasangannya, Nur Iqlima bergambar dengan pelamin di atas lori tiga tan sebelum memulakan konvoi. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.

IMPIAN dua beradik untuk mencipta kelainan ketika majlis perkahwinan tertunai apabila mereka dan pasangan masing-masing diarak dan bersanding di atas lori tiga tan pada majlis perkahwinan mereka di Kuala Nerus, kelmarin.

Mohammad Azmeraniza Razani, 22, bersama pasangannya, Nurul Fatehah Ghazali, 22, dan adiknya, Mohammad Azmirulniza Razani, 20, dan Nur Iqlima Mohd Azmi, 20, berarak dengan 30 lori sejauh 10 kilometer sebelum bersanding di pelamin yang disediakan di atas sebuah lori.

Loading...

Mohammad Azmeraniza berkata, dia sudah lama merancang untuk mencipta kelainan pada majlis perkahwinan dia dan adiknya itu.

“Kami bukan orang berada untuk menganjurkan majlis perkahwinan yang luar biasa di hotel.

“Namun, kami memasang impian untuk mencipta kelainan pada hari bahagia kami bersama pasangan sekali gus tercetus idea untuk bersanding di atas lori.

“Kebetulan pula saya bekerja sebagai pemandu lori dan kawan secara sukarela berkumpul serta berarak bersama kami,” katanya dari Kampung Seberang Takir.

Menurutnya, penggunaan konsep pelamin perkahwinan di atas lori itu bukan saja mendapat perhatian malah ia menjimatkan kos.

“Mungkin ada beranggapan kami perlu berbelanja lebih untuk menjayakan majlis perkahwinan ini tetapi sebenarnya kosnya sangat murah dan jimat.

“Kami hanya sediakan lori yang disumbangkan rakan-rakan daripada Pantai Timur Truck Club (PTTC) dan menghiasnya seperti pelamin.

“Rata-rata tetamu yang datang memuji konsep persandingan ini kerana ia terbuka dan tetamu dapat melihat dua pasangan bersanding serentak,” katanya.


KONVOI majlis perkahwinan berarak dengan lori di Kampung Seberang Takir. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.

Sementara itu, Mohammad Azmirulniza berkata, dia dan isteri teruja bersanding di pelamin atas lori itu kerana ia berbeza daripada kebiasaan.

“Apabila abang memberikan idea itu, saya dan isteri terus bersetuju dan teruja untuk menjayakannya.

“Walaupun saya bukan pemandu lori sepenuh masa seperti abang tetapi keluarga kami sudah sebati dengan kenderaan itu kerana bapa, Razani Abd Rani, 43, juga pemandu lori dan mekanik jentera itu,” katanya.


Isterinya, Nur Iqlima berkata, pada mulanya dia segan untuk berarak dengan konvoi 30 lori di sekitar kawasan Seberang Takir kerana ia pasti menjadi tumpuan ramai.

“Namun ketika menaiki lori itu saya seronok apabila diarak di sekeliling kampung.

“Kami rasa sangat dihargai selain mendapat reaksi positif daripada tetamu dan paling penting gambar perkahwinan kami lain daripada kebiasaan,” katanya.

Pada majlis itu, lebih 2,000 tetamu hadir dan ramai dalam kalangan mereka tidak melepaskan peluang bergambar di pelamin di atas lori itu.

No comments

Loading...