Header Ads

Peguam Najib Tarik Diri Kes Siasatan SRC


PUTRAJAYA – Pasukan guaman yang mewakili bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuat keputusan untuk berhenti mewakilinya yang berdepan dakwaan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (Amlatfa).

Difahamkan, bekas pendakwa raya kanan, Yusof Zainal Abideen dan peguam jenayah terkemuka, M Puravalen serta peguam lain dalam pasukan itu gagal mencapai asas yang sama dengan anak guam mereka tentang beberapa isu.


Loading...

Memetik laporan The Malaysian Insight, melihat ketidaksepakatan itu, barisan peguam berkenaan merasakan tidak guna untuk mereka terus mewakili Najib.

Penarikan diri pasukan  peguam ini akan menjadi kerugian besar kepada Najib kerana Yusof dan Puravalen dipandang tinggi sebagai peguam dengan 36 tahun pengalaman.

Yusof mencipta nama sebagai pendakwa raya dan dinaikkan pangkat ke peguam cara negara II sebelum beralih ke sektor swasta.

Malah beliau juga berada dalam pasukan pendakwa raya dalam kes liwat pertama, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998.

Manakala Puravalen pula mempunyai pengalaman sebagai peguam jenayah lebih 30 tahun.

Berdasarkan perkembangan semasa ini,ia dijangka bakal menambah beban lebih berat kepada bekas perdana menteri itu.


Ketika mereka dilantik oleh Najib, pandangan umum Majlis Peguam ialah pembelaan bekas perdana menteri itu dalam keadaan yang baik.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat Najib berkenaan bagaimana wang RM42 juta dari SRC International Sdn Bhd boleh masuk ke akaun bank peribadinya.

Wang SRC International itu masuk ke akaun beberapa orang tengah sebelum dikatakan masuk ke akaun Najib.
Ketika Najib dipanggil ke pejabat SPRM untuk disoal siasat, Yusof dan Puravalen menemani beliau.

Hari ini, isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor hadir ke ibu pejabat SPRM bagi membantu siasatan SRC International.

- Sinar Harian

No comments

Loading...