Header Ads

Pecah Amanah Lebih RM47 Juta, 2 Bekas Pegawai Kanan Felda Dipenjara

Foto: Berita Harian

KUALA LUMPUR - Dua bekas pegawai kanan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) masing-masing dipenjara lima dan dua tahun oleh  Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan melakukan pecah  amanah dan bersubahat pecah amanah dana  Felda lebih RM47 juta, empat tahun lalu.

Hakim Allaudeen Ismail menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap bekas Timbalan Pengarah Besar Sumber Strategik  Muhammad Sufi Mahbub, 54, dan penjara dua tahun terhadap bekas Pengarah Besar, Datuk Faizoull Ahmad,58, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

Dalam penghakimannya, Allaudeen berkata setelah meneliti, membaca dan menilai keterangan kesemua saksi pendakwaan dan pembelaan, mahkamah mendapati kedua-dua tertuduh gagal mematahkan tanggapan terhadap mereka dalam kes itu.

Loading...


Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan kedua-dua tertuduh melalui peguam Datuk Zaidi Ibrahim yang mewakili Muhammad Sufi dan peguam Azad Bashir yang mewakili Faizoull bagi penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi dengan mengekalkan jaminan RM1 juta setiap seorang.

Mengikut dua pertuduhan tersebut,  Muhammad Sufi didakwa sebagai Timbalan Pengarah Besar Sumber Strategik Felda ketika itu, telah melakukan pecah amanah terhadap dana organisasi itu iaitu dengan curangnya melupus dan meluluskan pembayaran masing-masing RM25,999,000 dan RM21,626,500 yang kesemuanya berjumlah RM47,625, 500 tanpa kelulusan Lembaga Pengarah atau Jawatankuasa Tender Felda.

Bagi dua pertuduhan pecah amanah itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara masing-masing lima tahun ke atas Muhammad Sufi dan memerintahkan kedua-dua hukuman berkenaan berjalan  serentak.

Faizoull pula didakwa atas dua pertuduhan bersubahat dengan Muhammad Sufi untuk melakukan perbuatan sama dan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara masing-masing dua tahun ke atas Faizoull serta memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak.



Mereka dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di Bangunan Wisma Felda Jalan Perumahan Gurney, di sini antara 13 Jan hingga 23 Julai 2014 mengikut Seksyen 409  dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun, dengan sebat dan hendaklah juga dikenakan denda.

Sebanyak 49 saksi pendakwaan dan enam saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan kes itu yang bermula pada 13 Jun 2017.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz dan Farah Yasmin Salleh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat sebagai pengajaran terhadap kedua-dua tertuduh dan juga orang awam agar tidak melakukan kesalahan sama.

“Walaupun kedua-dua mereka tidak mempunyak rekod jenayah lampau,  mahkamah perlu mengambil kira kepentingan awam dan keseriusan kes itu.

“Pihak pendakwaan juga memohon agar kedua-dua tertuduh dikenakan hukuman denda tinggi kerana faktor usia mereka tidak membenarkan mahkamah menjatuhkan hukuman sebat,” katanya.

Peguam  Zaidi yang mewakili Muhammad Sufi dan peguam Azad yang mewakili Faizoull memohon mahkamah menjatuhkan  hukuman ringan dengan alasan kedua-dua tertuduh mempunyai tanggungan keluarga dan itu merupakan kesalahan pertama mereka. - Bernama

No comments

Loading...