Header Ads

Parlimen Mula Bersidang 16 Julai Depan


PUTRAJAYA - Parlimen akan bersidang buat pertama kalinya selepas Pilihan Raya Umum ke-14 mulai 16 Julai selama 20 hari.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, sidang Parlimen itu akan bermula dengan pemilihan Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta diikuti majlis mengangkat sumpah.

Beliau berkata, pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan Akta Anti-Berita Tidak Benar serta pindaan terhadap akta-akta lain akan dibentangkan pada sidang Parlimen itu.

Loading...


"Ada beberapa pindaan kepada undang-undang lain yang akan kita umumkan," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Perdana Putra, di sini hari ini.

Mahathir berkata, kerajaan akan memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V untuk berangkat merasmikan istiadat pembukaan sidang Parlimen pada 17 Julai dan melafazkan titah diraja.

Menurut beliau lagi, peruntukan RM500,000 untuk ahli Parlimen kerajaan, RM100,000 untuk ahli Parlimen pembangkang serta peruntukan RM200,000 untuk pusat khidmat Ahli Parlimen akan disalurkan sebelum Hari Raya Aidilfitri ini.

Mengenai penurunan kuasa kepada Sarawak, Mahathir berkata, kerajaan Persekutuan akan menghormati apa yang telah dijanjikannya.

Dalam kes Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) lawan kerajaan negeri Sarawak, beliau berkata "ia terserah untuk diputuskan mahkamah".

Pada 4 Jun lalu, Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak menerima notis daripada Pendaftar Mahkamah Persekutuan bahawa kerajaan negeri dinamakan sebagai pihak dalam satu saman oleh Petronas.

Perbadanan minyak nasional itu berkata, ia telah memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan untuk mendapatkan pengisytiharan mengenai Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) sebagai undang-undang yang terpakai bagi industri petroleum di Malaysia.

Syarikat itu memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa di bawah PDA, ia adalah pemilik eksklusif sumber petroleum di negara ini, termasuk Sarawak. - Bernama

No comments

Loading...