Header Ads

Nuar Ayam Dihukum Gantung Sampai Mati


KOTA BHARU - Penjenayah yang paling dikehendaki di Kelantan, Nuar Ayam akhirnya dijatuhkan hukuman gantung mandatori oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas gagal membela diri kerana melepaskan tembakan hingga membunuh seorang pemilik kedai peralatan binaan tiga tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Bache membuat keputusan tersebut selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan terhadap tertuduh, Anuar Mohamed, 40.

Ahmad dalam keputusannya berkata, pihak pembelaan juga turut menafikan bahawa tertuduh berada di tempat kejadian dan melepaskan tembakan kepada si mati berdasarkan keterangan dia berada di sekolah tersebut dan tidak ke mana-mana.

Loading...


"Namun, jika dia tiada di tempat kejadian kenapa tiada keterangan sokongan mengatakan dia berada di sekolah berkenaan. Mahkamah mendapati ini penafian semata-mata dan mahkamah percaya keterangan saksi pendakwan kelima (SP5) dan keenam (SP6) (anak dan isteri mangsa) bahawa tertuduh berada di lokasi kejadian.

"Jadi persoalan berikutnya ialah adakah tertuduh melepaskan tembakan semasa kejadian? Siapa yang menembak adalah berdasarkan keterangan SP5 dan SP6 yang berjaya mengecam tertuduh sepintas lalu (selepas topeng tercabut)," kata beliau.

Ahmad berkata, walaupun kedua-dua saksi itu hanya melihat beberapa saat sahaja mahkamah mempercayai keterangan apabila ditontonkan rakaman video dari rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

"Rakaman CCTV itu menunjukkan bahawa tertuduh berada di lokasi kejadian bersama Wan Alif dan Wan Amri. Mahkamah putuskan tertuduhlah yang lepaskan tembakan tersebut kerana kamu berada di lokasi setelah melihat video yang menyokong keterangan SP5 dan SP6.

"Mahkamah berpuas hati dengan pengenalan identiti, mahkamah sabitkan tertuduh dengan kesalahan dan jatuhkan hukuman gantung mandatori. Itu keputusan mahkamah dan awak masih ada peluang lagi untuk merayu di Mahkamah Rayuan," ujar beliau.

Anuar atau lebih dikenali dengan panggilan Nuar Ayam didakwa melepaskan tembakan dengan niat untuk menyebabkan kematian Mustaffa Sidik, 52, di sebuah kedai di Beris Lalang di sini pada pukul 5.50 petang, 5 Februari 2015.

Dia didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman mati.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Shaharaliza Ab. Razak manakala tertuduh diwakili peguam Nordiana Mohd.

Pada 18 September tahun lalu, dua ahli geng Nuar Ayam iaitu Wan Alif dan Wan Amri Firdaus dipenjara sembilan tahun dan dua sebatan oleh mahkamah sama selepas mengaku bersalah melakukan rompakan berkumpulan dengan parang di kedai peralatan binaan tersebut.

Nuar Ayam menjadi penjenayah yang paling dikehendaki polis Kelantan kerana pembabitan dalam 23 kesalahan jenayah samun, pemerasan dan rogol.

No comments

Loading...