Header Ads

Neymar Balas Kritikan, Ledak Gol Saat Akhir


SAINT PETERSBURG: Neymar membalas kritikan dan mempertahankan reaksi emosional yang ditunjukkannya apabila menangis selepas meledak gol saat akhir ketika Brazil mencatat kemenangan 2-0 ke atas Costa Rica, semalam.

Brazil yang juga juara dunia lima kali hampir dipalit kekecewaan tetapi ia pantas dilupakan susulan dua gol yang dijaringkan pada masa kecederaan.

Philippe Coutinho memecah kebuntuan pada minit ke-91 sebelum Neymar menyumbat gol kedua pada sepakan terakhir perlawanan.

Loading...
"Tidak semua orang tahu apa yang saya harungi untuk berada di sini," kata Neymar menerusi laman Twitter dan Instagram miliknya.

"Burung kakak tua juga boleh bercakap, tetapi untuk bercakap dan melakukannya... tidak semua orang boleh melakukannya. Saya menangis disebabkan oleh kegembiraan, berjaya mengatasi, keberanian dan keinginan untuk menang.

"Perkara tidak pernah mudah dalam hidup saya, jadi mengapa ia menjadi seperti itu sekarang? Impian, tidak, objektif, masih lagi bernyawa. Tahniah atas persembahan kamu rakan-rakan."

Ia hanyalah penampilan keempat pemain termahal dunia itu sejak mengalami kecederaan patah kaki pada Februari lalu dengan jurulatih Brazil, Tite mengakui bintang Paris Saint-Germain masih belum berada di prestasi terbaiknya.

Emosi yang ditampilkan Neymar jelas melegakan Brazil yang meraih kemenangan pertama di Piala Dunia selepas diikat 1-1 oleh Switzerland pada aksi pembukaan Kumpulan E.

Begitupun, masih ada kebimbangan di Brazil yang tangisan Neymar adalah petunjuk betapa dia mungkin akan bergelut untuk mengawal tekanan ketika berdepan lawan lebih sukar di peringkat seterusnya.

"Tidak normal untuk menangis pada perlawanan kedua Piala Dunia," kata akhbar terbesar di Brazil, O Globo. "Pasukan perlu menampilkan kekuatan mental, bukan kerapuhan. Tulen atau tidak, tangisan Neymar membimbangkan." - AFP

No comments

Loading...