Header Ads

Najib: Rosmah Terkejut, Tidak Percaya Nilai Rampasan Polis


Datuk Seri Najib Razak mendakwa isterinya terkejut dengan pendedahan polis mengenai jumlah rampasan yang dibuat baru-baru ini.

Najib berkata Datin Seri Rosmah Mansor tidak mempercayai jumlah yang diumumkan polis kerana ada barangan itu bukanlah miliknya.

“Saya fikir penilaian itu... dia (Rosmah) tidak percaya jumlahnya seperti itu. Dan beberapa barangan juga, seperti barangan kemas, ia mempunyai rekod bahawa ia dikirim.

Jadi kita perlu mengenal pasti barang-barang itu dan memulangkannya (kepada pengirim).

Loading...

“Janganlah kita terus membuat kesimpulan. Benarkan kami memeriksa barangan tersebut secara individu,” katanya dalam satu wawancara bersama Malaysiakini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman hari ini mendedahkan nilai barang mewah yang dirampas dari kediaman yang dikaitkan dengan Najib boleh mencecah RM1.1 bilion.

Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata selain RM116.7 juta wang tunai terdiri daripada 26 jenis mata wang yang dirampas, sebanyak 12,000 barang kemas, 567 beg tangan, 423 utas jam tangan dan 234 cermin mata turut dirampas.

Najib berkata nilai barangan yang dirampas adalah subjektif dan tidak realistik kerana terdapat batu pada barang kemas yang dirampas berusia kira-kira 20 tahun lalu.

“Ia bergantung kepada sumber sesebuah batu. Ia juga bergantung, bila ia dihadiahkan atau bila ia dibeli. Penilaian (bagi barangan tersebut) boleh berubah.

“Jadi janganlah kita terlalu teruja. Biar kita lihat barang-barang itu, setiap satu barangan tersebut.

“Kami harap ada peluang ia dibuat penilaian dan kita boleh buat kesimpulan berhubung sumber barangan tersebut serta dapat penjelasan mengenai barangan yang telah dirampas oleh pihak polis,” katanya.

Ahli parlimen Pekan itu berhasrat membina sebuah galeri bagi mempamerkan hadiah istimewa yang diterima daripada orang kenamaan.

“Itu niat saya. Letak barang tersebut di sebuah pameran kerana saya tidak pernah menggunakannya.

“Saya tahu ada cincin yang mahal diberikan tetapi saya tidak menggunakannya sebab saya tahu harganya mahal dan saya tahu sebagai pemimpin, saya tak patut menggunakannya.

“Ia tidak akan digunakan dan akan menjadi sebahagian daripada galeri. Pada suatu hari nanti ia akan dipamerkan,” katanya.

No comments

Loading...