Header Ads

Najib, Rosmah tarik balik saman

PEGUAM Datuk Mohd Hafarizam Harun mengesahkan Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor menarik balik saman terhadap Mohd Rafizi Ramli dan Chan Chee Kong berhubung isu subsidi minyak. Foto NSTP/ASWADI ALIAS.

DATUK Seri Najib Razak dan isterinya menarik balik saman terhadap Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohd Rafizi Ramli dan pemilik sebuah portal berita, Chan Chee Kong berhubung isu subsidi minyak dan cincin berharga RM20 juta.

Loading...

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Ranjit Singh selepas pengurusan kes di dalam kamar Pesuruhjaya Kehakiman Rohani Ismail di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Mahkamah sebelum ini sudah menetapkan hari ini untuk untuk pengurusan kes dan minggu hadapan untuk perbicaraan.

“Bagaimanapun, selepas kes disebut semula di dalam kamar, kami dimaklumkan bahawa Najib dan Datin Seri Rosmah Mansor menarik balik saman mereka. Oleh itu kami juga menarik balik tuntutan balas tanpa sebarang kos,” katanya.

Menurutnya, mahkamah memerintahkan kedua-dua plaintif membayar kos RM10,000 masing-masing kepada Mohd Rafizi dan pemilik portal Media Rakyat, Chan.

Sementara itu, peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Najib dan Rosmah mengesahkan bahawa mereka sudah menarik balik saman itu.

Pada 15 April 2015, Najib dan Rosmah sebagai plaintif memfailkan saman itu dan mendakwa Mohd Rafizi ada mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap mereka.

Rafizi didakwa berbuat demikian ketika memberi ucapan pada forum di Bandar Tun Razak pada 22 November 2014.

Perkataan fitnah itu kemudian dimuat naik oleh portal berita Media Rakyat di laman web YouTube dan Facebook mereka pada hari yang sama, dengan tajuk 'Rafizi Ramli: Kenapa Kita Pertahankan Subsidi Minyak.'

Plaintif mendakwa, perkataan fitnah itu menyebabkan kerosakan serius terhadap reputasi kerana membawa mereka ke skandal awam, kebencian dan penghinaan oleh rakan, kenalan, masyarakat awam dan peringkat antarabangsa.

Najib mendakwa, kenyataan fitnah itu menggambarkan beliau melakukan kesalahan mencuri, rasuah atau mengkhianati rakyat Malaysia, selain menyalahgunakan kuasanya sebagai Perdana Menteri.

Sementara itu, Rosmah pula mendakwa pernyataan fitnah itu menggambarkan beliau mengambil dan membelanjakan wang rakyat dengan membeli cincin berharga RM20 juta sehingga dihina dan dibenci.

Mereka mendakwa, defendan kedua gagal mengamalkan prinsip kewartawanan bertanggungjawab, apabila gagal mengesahkan atau menyiasat kebenaran tuduhan yang terkandung pernyataan fitnah itu sebelum menyiarkannya.


Pada 20 Jun 2017, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan Mohd Rafizi dan Chan untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membatalkan pembelaan mereka bagi komen yang adil dalam kes saman itu.

Bagaimanapun pada 23 April 2018, Mohd Rafizi dan Chan menarik balik rayuan mereka berhubung pembelaan mereka itu dan Mahkamah Persekutuan kemudiannya membatalkan rayuan mereka.

Ini adalah kali kelima Najib bertindak untuk tidak meneruskan saman, selepas menarik balik samannya.

No comments

Loading...