Header Ads

Najib Ingat Rakyat Bodoh ‘Tak Tahu’ Wang 1MDB Masuk Dalam Akaun, Kata Mahathir


Tun Dr Mahathir Mohamad mengecam Datuk Seri Najib Razak yang mendakwa tidak tahu wang 1Malaysia Development Bhd (1MDB) masuk ke akaun banknya.

"Tidak mungkin. Kerana saya perlu tandatangan untuk guna wang itu. Untuk guna duit, saya perlu keluarkan cek.

"Najib selalu ingat rakyat bodoh," kata perdana menteri dalam wawancara dengan Malay Mail hari ini.

Dr Mahathir mengulas kenyataan bekas perdana menteri itu yang menyangkal aliran wang 1MDB, termasuk RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaunnya.


Loading...

Semalam Najib dilaporkan juga mendakwa beliau tidak tahu berbilion-bilion dolar wang daripada 1MDB digunakan untuk membeli barangan kemas isterinya.

Beliau juga mendakwa tidak tahu dana itu digunakan untuk membeli lukisan mahal Picasso, kapal mewah Equanimity dan hartanah mewah di New York.

Semua dakwaan pembelian itu dinyatakan dalam dokumen Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat sewaktu menyiasat kes penggubahan wang haram daripada tabung itu.

Dalam wawancara dengan Reuters semalam, Najib sebaliknya menyalahkan pengurusan dan lembaga pengarah 1MDB kerana tidak mendedahkan penyelewengan itu kepadanya.

Dr Mahathir juga berkata mustahil bekas presiden Umno itu tidak tahu-menahu tentang aliran wang 1MDB kerana semua urusan melibatkan tandatangannya.

"Siapa mahu percaya beliau [Najib] tidak tahu apa-apa, apabila beliau menurunkan tandatangan [atas namanya]?

"Semua urusan wang keluar masuk untuk pinjaman RM42 bilion, semuanya tandatangan beliau," katanya.

"Jika beliau memang tidak tahu, boleh jadi beliau tidak faham [akibat] apa makna sesuatu tandatangan."

Kelmarin, Mahathir memberitahu Reuters kerajaan mempunyai "kes yang hampir sempurna" untuk mendakwa salah laku Najib dalam urusan 1MDB.

Beliau juga menjangkakan tangkapan pertama skandal itu boleh dibuat dalam tempoh beberapa bulan ini dan memulakan perbicaraan menjelang hujung tahun.

1MDB menanggung hutang RM42 bilion sejak ia ditubuhkan pada 2009. Dr Mahathir mempertikai urusan mencurigakan itu sejak 2015.

No comments

Loading...