Header Ads

KJ Dahului Undian Dalam Talian


KUALA LUMPUR : Sehingga jam 1.30 tengah hari tadi, undian dalam talian BHOnline menunjukkan calon Presiden UMNO, Khairy Jamaluddin mencatat undi tertinggi iaitu 71 peratus diikuti Tengku Razaleigh Hamzah sebanyak 24 peratus dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi lima peratus.

Bekas Ketua Pemuda yang juga Ahli Parlimen Rembau itu bersaing dengan Tengku Razaleigh, juga Ahli Parlimen Gua Musang yang lebih dikenali sebagai Ku Li dan Ahmad Zahid Hamidi selaku Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas presiden.

Mesyuarat perwakilan dan pemilihan UMNO peringkat Bahagian serta Majlis Tertinggi (MT) yang bermula jam 9 pagi tadi itu berlangsung serentak di 191 bahagian dengan agenda utama memilih barisan kepimpinan peringkat MT bagi sesi 2018-2021.

Loading...


Jawatan timbalan presiden, menyaksikan persaingan antara Ahli MT, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Tujuh calon lagi akan bertanding merebut tiga jawatan naib presiden iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin, Sheikh Razali Sheikh Hamad, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Datuk Seri Ahmad Said.

Seramai 106 calon pula akan bertanding merebut 25 jawatan ahli MT.

Perwakilan pada mesyuarat hari ini juga akan melakukan pengundian bagi memilih barisan kepimpinan peringkat Bahagian.

Keputusan pemilihan jawatan tertinggi peringkat pusat dijangka diperoleh dan diumumkan pada sebelah malam oleh Ibu Pejabat UMNO, manakala keputusan peringkat bahagian akan diumumkan Pengerusi Tetap Bahagian.

Sebelum ini, beberapa keputusan peringkat bahagian membabitkan jawatan Ketua Bahagian sudah diumumkan kerana tiada pertandingan antaranya termasuk bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, yang menang tanpa bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Pekan.

Sabtu lalu, jawatan Ketua Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO pada pemilihan UMNO 2018 masing-masing dimenangi Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Datuk Dr Noraini Ahmad serta Datuk Zahida Zarik Khan, dalam pemilihan bagi sayap berkenaan.

- BH Online

No comments

Loading...