‘Kerajaan Cuba Padam Legasi Saya’ – Najib
SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (Harapan) cuba memadamkan legasinya
dengan membatalkan pelbagai projek yang akan dan sedang dijalankan.
Najib akui tidak kisah namun kerajaan perlu bertimbang rasa
apabila membatalkan pelbagai projek yang memberi manfaat kepada negara.
“Saya tidak kisah jika kerajaan berusaha untuk memadamkan
segala legasi ditinggalkan sepanjang 9 tahun saya sebagai Perdana Menteri,
namun kerajaan perlu lebih telus dan lebih bertimbang rasa.
Loading...
“Mereka mula membatalkan pelbagai projek atau inisiatif yang
dimulakan untuk manfaat rakyat dan negara hanya kerana mahu memadamkan legasi
saya atau mempunyai persepsi, ia dimulakan oleh saya, lantas ia perlu dihenti
atau dipadamkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, dalam tempoh dua minggu sahaja, kerajaan sudah
membatalkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR)
dan MRT3 yang telah dikaji bertahun lamanya, lapor Sinar Harian.
“Kajian menunjukkan manfaat ekonomi melampaui kos
pembinaannya. Projek MRT3 juga diperlukan bagi melengkapkan jaringan bagi
mewujudkan sistem pengangkutan awam yang lebih berintegrasi di Lembah Klang.
“Tanpanya, Lembah Klang akan terus berdepan dengan
peningkatan masalah kesesakan jalan raya,” katanya.
Menyentuh soal Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Najib
berkata projek itu memberi manfaat kepada tiga negeri pembangkang, Kelantan,
Terengganu dan Pahang.
“Tidakkah siapa sedar yang tiga negeri yang bakal menerima
manfaat paling banyak daripada ECRL ini iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang
merupakan negeri yang bukan di bawah kerajaan Harapan?
“Adakah ini satu kesinambungan daripada amalan menghukum
negeri pembangkang? Sebagaimana dilakukan Tun Mahathir Mohamad ketika menjadi
Perdana Menteri selama 22 tahun apabila Kelantan dinafikan kemudahan asas
rakyat seperti lebuhraya, jalan raya, bekalan air dan pembangunan infrastruktur
pembetungan,” tanyanya.
Najib sempat mengingatkan sepanjang beliau menjadi Perdana
Menteri, kesemua negeri tanpa mengira status pembangkang mahupun kerajaan
menerima pembangunan infrastruktur asas untuk manfaat rakyat.
“Sebab itu, kerajaan persekutuan pada ketika pentadbiran
saya telah menyalurkan berpuluh bilion Ringgit bagi membantu penstrukturan
bekalan air di Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan.
“Berikutan pembangunan Kelantan agak ketinggalan berbanding
negeri lain, saya juga telah memastikan Kelantan menerima lebih banyak dana
pembangunan dan projek menaiktaraf lebuhraya, bekalan air serta infrastruktur
pembetungan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menggesa kerajaan mendedahkan laporan
impak ekonomi dan kajian kebolehlaksanaan bagi kesemua projek ini untuk diakses
rakyat.
Katanya, “kerajaan tidak seharusnya membatalkan projek atas
motif yang salah atau memberi alasan sebagaimana mereka lakukan pada kenyataan
mengenai hutang negara yang tidak tepat, tetapi mereka juga perlu mengambil
kira pembangunan positif ekonomi, peluang pekerjaan yang akan hilang serta
manfaat buat rakyat yang akan disumbang projek ini untuk negara.”
Post a Comment