Header Ads

Loading...

Kerajaan Akan Utamakan Pekerja Tempatan - Muhyiddin


PUTRAJAYA: Kerajaan akan memberi keutamaan kepada keperluan pekerja tempatan dalam beberapa sektor yang selama ini dipenuhi pekerja dari luar negara.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia sekali gus memenuhi manifesto Pakatan Harapan (PH) yang dinyatakan kepada rakyat sebelum ini.

Jelasnya, kerajaan juga akan mengkaji kemasukan pekerja asing dalam sektor tertentu, lapor Astro Awani.

Loading...


"Kita akan lihat dengan teliti keperluan sekarang. Pada dasarnya, keutamaan harus diberi kepada pekerja tempatan.

"Tetapi sejak lama kita tidak beri keutamaan. Pendapat beberapa pihak, ambil pekerja asing lebih mudah dan murah.

"Pekerja tempatan memerlukan gaji lebih tinggi, tempat tinggal lebih baik dan sebagainya. Aspek-aspek ini ada kaitan tentang kenapa dan mengapa kita perlu meneliti masalah ini sekarang," katanya semasa sidang media selepas lawatan kerja ke Jabatan Imigresen di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin memberitahu, sebuah jawatankuasa khas akan diwujudkan bagi mengkaji pengurusan pekerja asing serta masalah lambakannya di negara ini.

Katanya, jawatankuasa yang bertanggungjawab menilai semua prosedur operasi standard (SOP) dan undang-undang sedia ada itu, akan turut mengkaji masalah pendatang asing tanpa izin (PATI).

Sebelum ini, Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran berkata, kebergantungan kepada pekerja warga asing perlu dikurangkan secara berperingkat dan digantikan dengan penggunaan automasi dan teknologi.

Jelasnya, automasi dan penggunaan teknologi yang lebih canggih akan mewujudkan permintaan tersendiri bagi pekerja berkemahiran lebih tinggi, yang kebiasaannya datang dengan gaji lebih baik dan boleh diisi oleh pekerja tempatan.

No comments

Loading...