Header Ads

Kepimpinan UMNO Bagan Serai Desak Noor Azmi Letak Ahli Parlimen


Kepimpinan UMNO Bahagian Bagan Serai mendesak Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali meletakkan jawatannya selepas mengumumkan untuk meninggalkan UMNO dan Barisan Nasional hari ini.

Ketua UMNO Bahagian Bagan Serai, Datuk Sham Mat Sahat berkata, Noor Azmi perlu meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen yang dimenanginya dan bertanding sekali lagi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bagan Serai dengan mewakili parti lain.

"Melalui PRK yang dilakukan, kita dapat lihat sama ada penduduk di Parlimen Bagan Serai akan memberi kemenangan kepadanya atas faktor beliau wakil UMNO dan BN atau berdasarkan aspek karisma diri seperti yang didakwanya.

Loading...


"Saya akui kepimpinan UMNO bahagian pernah menolak pencalonan semula Noor Azmi sebagai calon Ahli Parlimen mewakili BN pada PRU-14, namun apabila pucuk pimpinan pusat telah memutuskan untuk mengekalkan Noor Azmi, kami akur dengan keputusan itu," katanya.

Tambah Sham, beliau nyata kecewa dengan tindakan Noor Azmi selepas ahli UMNO dan BN Bagan Serai berhempas pulas untuk memastikan kemenangan beliau pada PRU-14, namun beliau telah mengkhianati parti.

Menurutnya, tindakan Noor Azmi telah mengecewakan 17,000 pengundi yang menyokongnya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

"Dakwaan beliau yang menyatakan terdapat unsur sabotaj dari UMNO Bagan Serai dianggap sebagai tidak berasas. Kami menolak dakwaan beliau disabotaj pihak kami kerana sekiranya perkara itu benar-benar berlaku, Noor Azmi sudah pasti tidak berpeluang mengekalkan kerusi Parlimen Bagan Serai bagi penggal kedua.

"Keputusan beliau keluar dari UMNO dan Barisan Nasional (BN) hari ini sebenarnya amat mengecewakan semua ahli UMNO Bahagian Bagan Serai dan lebih 17,000 pengundi yang menyokongnya pada PRU-14," katanya.

No comments

Loading...