Header Ads

Loading...

Kemenangan PH Pada PRU14 Bukti Rakyat Mampu Tolak Rasuah


ALOR SETAR, 3 Jun ― Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata  kemenangan besar Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum ke-14  membuktikan rakyat mampu menolak sogokan dan rasuah yang ditawarkan kerajaan terdahulu bagi mendapatkan undi.

Katanya, tindakan itu didorong rasa tanggungjawab rakyat terhadap kesejahteraan agama, bangsa dan negara.

“Sebab itu ramai rakyat dari semua peringkat telah tolak parti yang umpan mereka dengan sogokan sebaliknya mereka beri sokongan kepada sebuah parti yang miskin dan tidak dapat hulur wang dan macam-macam lagi sogokan.

Loading...


“Rakyat memberi sokongan kuat sehingga terjatuhnya sebuah kerajaan yang memerintah negara selama 61 tahun kerana sikap mereka [kerajaan terdahulu] yang bertukar daripada pejuang kemerdekaan kepada parti yang tamak untuk kumpul kekayaan sendiri,” katanya pada majlis berbuka puasa bersama pemimpin dan jentera pilihan raya PH Kedah di Dewan Seri Mentaloon di sini hari ini.

Turut hadir, menteri besar Kedah yang juga pengerusi PH negeri Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta barisan pemimpin tertinggi parti komponen PH Kedah.

Dr Mahathir yang menggunakan analogi umat Islam berpuasa pada bulan Ramadan berkata seperti mana seseorang menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa, begitu  jugalah tindakan rakyat yang sanggup menahan nafsu daripada menerima rasuah.

“Ini adalah satu kejayaan besar buat kita, kita disuruh untuk tolak nafsu dan ikut apa ditentukan oleh akal fikiran.

“Akal suruh kita buat kebaikan dan larang buat kejahatan tapi manusia lemah dan kadang-kadang mereka tidak dapat lawan nafsu,” katanya.

Sehubungan itu beliau berkata kerajaan baharu sekarang perlu mengambil iktibar daripada kegagalan Barisan  Nasional (BN) yang selama ini angkuh dan enggan menerima teguran dan nasihat daripada pembangkang.

“Kita selalu tegur bahawa BN ini terlibat secara besar-besaran dengan sogokan dan rasuah, tapi sekarang kita sudah menang dan kita tidak harus ikut jejak langkah mereka, jangan jadi tamak sehingga sekali lagi rakyat akan bangkit jatuhkan kita pula, inilah janji kita dahulu dan ia mesti ditunaikan,” katanya.

Beliau turut mengajak rakyat agar terus berpegang pada prinsip menolak rasuah dan bersama-sama membantu mewujudkan sebuah negara yang maju dan berdaya saing.

“Seperti mana rakyat sokong PH begitu juga kita harap rakyat akan berpegang teguh pada perjuangan mereka bagi menjadikan negara dipandang tinggi dan dihormati masyarakat,” katanya. ― Bernama

No comments

Loading...