Header Ads

Kembalikan Aset 1MDB? Thomas Paling Handal, Kata Peguam


KUALA LUMPUR, 5 Jun — Firma guaman milik Tommy Thomas hari ini mengalu-alukan pelantikan peguam kanan itu sebagai Peguam Negara dan mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau dalam menjalankan tugas baharu itu nanti.

Peguam Sitpah Selvaratnam, Alan A. Gomez dan Ganesan Nethi daripada firma Tommy Thomas dalam kenyataan hari ini berkata Thomas telah melakar kerjaya cemerlang dalam bidang guaman dan sentiasa berpegang teguh pada kesamarataan, keadilan, kebenaran dan perkara hakiki.

“Maka, ketika negara kita dengan jelas memilih integriti dan kebertanggungjawaban, meletakkan Thomas untuk menerajui institusi utama keadilan dan undang-undang merupakan bukti jelas tentang komitmen ke arah melaksanakan pembaharuan.

Loading...


“Walaupun kami sudah pasti akan merindui beliau, namun demi negara, kami amat gembira kerana gandingan antara bakat, integriti dan pengetahuan Thomas dalam bidang undang-undang menghadiahkan kepada Malaysia seorang daripada peguam paling cemerlang sebagai peguam negaranya yang akan datang.

"Kami ucapkan selamat maju jaya kepada beliau sebagai Peguam Negara Malaysia,” kata mereka.

Menurut barisan peguam itu, pelantikan Thomas sebagai Peguam Negara juga memberi kebanggaan kepada mereka.

Kenyataan itu berkata walaupun media sering menyebut Thomas sebagai peguam perlembagaan, sebenarnya, beliau telah menghabiskan sebahagian besar masanya selama 42 tahun dalam bidang guaman dengan memberi khidmat sebagai peguam korporat dan perdagangan serta bertindak dengan cemerlang dalam beberapa kes besar melibatkan hutang korporat dan pemerolehan semula aset seperti dalam kes Amos William Dawe and Mosbert; Lian Keow lwn Overseas Credit Finance, dan Bank Bumiputra lwn Lorrain Osman.

“Terbaru, beliau mencurahkan khidmat dalam kes Suruhanjaya Sekuriti menentang Swiss Cash, skim Ponzi melibatkan seluruh dunia yang lahir di Malaysia – menjejaki dana dalam skim Ponzi itu hingga ke bank di Hong Kong, Jersey dan British Virgin Islands; mendapatkan Injunksi Mareva di seluruh dunia dan pada pengetahuan kami mendapatkan bayaran pampasan paling besar bagi mereka yang menjadi mangsa dalam skim Ponzi,” kata mereka.

Firma guaman itu juga berkata Thomas mengetuai dengan jayanya pasukan mereka dalam dua kes pemerolehan semula bon paling terkenal di Mahkamah Malaysia : Pesaka Astana dan Aldwich Berhad.

“Memandangkan pemerolehan kembali aset korporat merupakan topik hangat sekarang dan dengan kerajaan memberi tumpuan untuk mendapatkan kembali aset 1MDB, kami tidak ragu-ragu berpendapat bahawa mereka telah melantik peguam paling handal di Malaysia dalam bidang itu, yang memiliki pengetahuan, pengalaman dan ketekunan untuk menerajui litigasi  berkaitan 1MDB, sama ada dari segi sivil atau jenayah.

“Sesetengah daripada anda mungkin menyedari bahawa amalan Thomas jauh lebih meluas dan mendalam daripada apa yang kami sebutkan itu.

"Beliau telah mengendalikan beberapa kes terbesar dan paling rumit di Malaysia dan di samping mempunyai rekod pencapaian luar biasa dalam kes perdagangan, beliau juga banyak terlibat dengan amalan undang-undang melalui pembabitannya dalam urusan semakan semula kehakiman utama dan perkara berkaitan perlembagaan,” kata kenyataan itu.

Firma itu juga berkata sebahagian besar daripada amalan Thomas adalah dalam kerja pro bono atau percuma untuk golongan kurang berada dan tertindas.

“Thomas mempunyai banyak pengalaman dalam bidang perbicaraan dan rayuan setelah tampil dalam semua Mahkamah Malaysia dan dalam rayuan kepada Privy Council pada pertengahan 1980-an,” kata firma itu.

Dalam kenyataan kepada Bernama bertarikh 4 Jun, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara  Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V telah memberi perkenan baginda terhadap pelantikan Thomas sebagai Peguam Negara baharu mengikut 145 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mencalonkan Thomas, 66, bagi menggantikan Tan Sri Mohamad Apandi Ali, 68, yang diberi cuti tanpa rekod 30 hari bermula 15 Mei 2018.

Thomas, yang berasal dari Kuala Lumpur, memperoleh kelulusan barrister-at-law dari Middle Temple, London dan terlibat dengan lebih 150 kes yang dilaporkan serta kes tidak dilaporkan yang tidak terkira jumlahnya.

Beliau sering disebut sebagai antara peguam litigasi terkemuka Malaysia oleh penerbitan bebas antarabangsa seperti The Asia Pacific Legal 500, Which Lawyer, Who’s Who Legal (The International Who’s Who of Business Lawyers), Commercial Litigation Lawyers of Asia dan Chambers Asia.

Dalam bidang korporat, beliau muncul dalam kes berkaitan syarikat, pembubaran, penerimaan dan insolvensi.

Dalam bidang perdagangan, beliau bertindak dalam kes berkaitan perbankan, sewa beli, kontrak, harta intelek, penjualan barangan, wasiat, amanah dan undang-undang tanah.

Thomas juga terlibat dalam litigasi rumit melibatkan bon dan instrumen kewangan canggih lain.

Dalam undang-undang awam, Thomas memiliki kepakaran dalam kes berkaitan pelembagaan dan pentadbiran.

Beliau juga amat aktif menawarkan khidmat dalam pertikaian interpretasi berkanun berkaitan petroleum, pengurusan aset, undang-undang sekuriti dan kerajaan tempatan.

Beliau juga mencurahkan khidmat dalam ligitasi berprofil tinggi terkenal melibatkan dua kerajaan negeri berkaitan tuntutan minyak dan gas luar pesisir.

Di samping itu, beliau pernah bertindak bagi dua kerajaan negeri dalam pertikaian perlembagaan dan semakan kehakiman.

Beliau juga pernah mewakili pihak berkuasa kawal selia sebagai peguam utama dalam perkara litigasi sivil mereka yang rumit di mahkamah tertinggi. — Bernama

No comments

Loading...