Header Ads

Ibu, anak empat tahun maut kemalangan


PONTIAN: Seorang ibu dan anak lelakinya berusia empat tahun maut selepas kereta PROTON Iswara yang mereka naiki terbabit kemalangan dengan kenderaan pacuan empat roda dalam kejadian di Kilometer 8.0 Jalan Pontian-Kukup, malam tadi.

Loading...

Kemalangan jam 10.10 malam itu menyebabkan Norasmah Ab Karim, 37, bersama Muhammad Azqullah Azhar, 4, meninggal dunia di tempat kejadian.

Suami Norasmah, Azhar Zainal, 39, dan seorang lagi anak mereka, Muhammad Aizat, 10, serta ibu Norasmah, Noraini Sulaiman, 60 hanya mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh, berkata siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dinaiki keluarga mangsa berlanggar dengan kenderaan pacuan empat roda.

"Kenderaan mangsa dari arah Pontian menghala ke Serkat, manakala kenderaan pacuan empat roda dari arah Sinar Harapan menuju ke Serkat di KM8 Jalan Pontian-Kukup.

"Kejadian berlaku apabila kenderaan pacuan empat roda yang tiba di lokasi kemalangan tidak memberhentikan kenderaannya sebelum membelok ke kiri," katanya.

Mustafa Bakri berkata, pemandu dan dua penumpang kereta PROTON Iswara yang cedera kemudian di hantar ke Hospital Pontian untuk tindakan lanjut.


Katanya, pemandu dan penumpang kenderaan pacuan empat roda yang hanya cedera ringan akan ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah (KAJ) bagi membantu siasatan lanjut.

Kes itu juga akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-BHonline

No comments

Loading...