Header Ads

Hati-hati Buat Tuduhan, Najib Nasihat Guan Eng


KUALA LUMPUR – Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengalu-alukan siasatan secara telus dan terbuka terhadap dua projek saluran paip gas yang dibangkitkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, hari ini iaitu Projek Multi-Product Pipeline (MPP) dan Trans-Sabah Gas Pipeline (TSGP).

Perjanjian projek yang dianggap berat sebelah dan meragukan itu bernilai RM9.4 bilion ditandatangani oleh Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER).

Najib menerusi Facebooknya, meminta kerajaan lebih berhati-hati dalam membuat sesuatu dakwaan bermotif politik terutama melibatkan syarikat milik sebuah negara asing kerana ia mungkin akan mencetuskan kesan negatif terhadap hubungan perdagangan antarabangsa Malaysia.

Loading...


“Saya yakin, semua prosedur dan proses perundangan dipatuhi berkaitan dengan rundingan dan perlaksanaan dua projek saluran paip yang dibangkitkan Guan Eng hari ini.

“Saya dapati Guan Eng menyebut kesemua bayaran dibuat kepada China Petroleum Pipeline Bureau (CPPB) adalah mengikut perjanjian dan bukan kepada pihak-pihak lain. CPPB ialah anak syarikat kepada salah sebuah syarikat terbesar di dunia dan dimiliki kerajaan China iaitu China National Petroleum Corporation,” tulisnya.

Memetik laporan Sinar Harian lagi, ahli Parlimen Pekan itu menegaskan, kedua-dua projek saluran gas ini yang lebih ekonomik dan jaminan manfaat bekalan tenaga bagi Malaysia telah dirunding melalui asas kerajaan kepada kerajaan dengan kerajaan China.

“Saya dan Perdana Menteri China, Li Keqiang telah menyaksikan pemeteraian Perjanjian Kesefahaman (MoU) bagi projek saluran gas ini bersama beberapa projek lain ketika membuat lawatan rasmi ke Beijing pada 14 Mei, 2017.

“Pada majlis yang sama, China turut memberikan komitmen untuk mengimport barangan bernilai AS$2 trilion bagi tempoh lima tahun dari Malaysia, membuat pelaburan sehingga AS$150 bilion di Malaysia dan menawarkan 10,000 tempat bagi latihan serta pendidikan untuk rakyat Malaysia di pelbagai institut di China,” jelasnya.

Najib menambah, dalam pertemuan itu juga turut dinyatakan komitmen daripada kerajaan China membantu pekebun kecil sawit di Malaysia dengan pembelian tambahan minyak sawit daripada kita.

Perjanjian-perjanjian yang berkaitan telah ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Penbendaharaan Tan Sri Irwan Serigar, yang juga Pengerusi SSER. Beliau telah meletakkan jawatan pada 23 Mei 2018.

Terdahulu, Guan Eng, meminta Irwan Serigar dan Najib menjelaskan perjanjian berat sebelah dan meragukan bernilai RM9.4 bilion ditandatangani oleh Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER).

Beliau juga inginkan penjelasan mengapa SSER menandatangani kontrak itu yang boleh mengugat kepentingan rakyat dan kerajaan Malaysia.

No comments

Loading...