Header Ads

Duit raya RM1,000


KERAJAAN Pulau Pinang, hari ini, mengumumkan pembayaran bantuan khas Aidilfitri sebanyak RM1,000 kepada semua kakitangan awam kerajaan negeri.

Loading...

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pembayaran membabitkan jumlah RM3.6 juta kepada 3,600 penjawat awam itu akan dibayar pada 13 Jun, iaitu dua hari sebelum sambutan Hari Raya yang dijangkakan pada 15 Jun ini.

"Kami harap bantuan khas ini akan membantu mereka, terutamanya yang beragama Islam, untuk membuat persiapan Hari Raya yang akan diraikan pada minggu hadapan," katanya ketika berucap pada Majlis Himpunan Penjawat Awam di The TOP Kompleks Tun Abdul Razak di Georgetown, hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Farizan Darus, berkata pembayaran bantuan khas Aidilfitri itu akan diberikan sama rata, tanpa mengambil kira kedudukan tangga gaji.

"Kita berikan kepada semua, Gred 41 dan ke atas juga.

"Gaji mereka akan masuk pada Khamis ini, manakala bayaran khas pada minggu hadapan," katanya.


Dalam perkembangan berasingan, Kon Yeow berkata, janji Pakatan Harapan untuk menghapuskan bayaran tol di Jambatan Pulau Pinang akan diputuskan oleh Kerajaan Persekutuan.

"Saya fikir ini di peringkat Persekutuan, berilah masa kepada mereka untuk mengkaji dan membuat keputusan (mengenai syor menghapuskan tol Jambatan Pertama Pulau Pinang dalam masa terdekat atau sebaliknya)," katanya.

Pada kempen Pilihan Raya Umum Ke-14, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengumumkan hasrat menghapuskan tol Jambatan Pertama Pulau Pinang sekiranya PH berjaya membentuk kerajaan Pusat.

-my metro

No comments

Loading...