Header Ads

Dr Mahathir Bakal Jadi Tumpuan Pada Persidangan Nikkei 2018

Foto: FMT

TOKYO – Tun Dr Mahathir Mohamad sememangnya amat mengagumi Jepun.

Malah, beliau merupakan insan yang membawa banyak contoh kejayaan untuk Malaysia termasuk menerapkan Dasar Pandang ke Timur dalam agenda pembangunan negara pada lewat 1980-an apabila menjadi perdana menteri buat kali pertama.

Dan, Dr Mahathir, yang dijadual tiba di Tokyo esok untuk lawatan kerja tiga hari, bakal menyuntik ciri-ciri baharu dalam dasar itu, yang menurut Duta Besar Malaysia ke Jepun Datuk Ahmad Izlan Idris, telah memberi sumbangan besar kepada kemajuan Malaysia.

Lawatan pertama Dr Mahathir ke luar negara selepas dilantik menjadi perdana menteri Malaysia ketujuh bulan lepas adalah untuk menghadiri Persidangan Antarabangsa Ke-24 mengenai Masa Depan Asia atau Persidangan Nikkei atas undangan Nikkei Incorporated.

Loading...


  Ahmad Izlan berkata Dr Mahathir adalah pemimpin yang sering menghadiri acara berprestij itu dari semasa ke semasa, dengan hanya empat kali tidak menghadiri persidangan tersebut – kali terakhir pada 2014. Beliau dijadual menyampaikan ucap tama pada persidangan itu yang dihadiri oleh pemimpin tertinggi politik dan eksekutif kanan perniagaan serta tetamu terhormat yang lain.

Kemunculan Dr Mahathir pada persidangan kali ini pasti menarik perhatian kerana para pesertanya tidak sabar menanti tentang apa yang bakal beliau  suarakan selepas kejayaannya menyingkirkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Barisan Nasional, gabungan parti yang memegang tampuk  kuasa Malaysia selama lebih enam dekad.

"Ia akan menjadi platform bagi Dr Mahathir menyuarakan pandangannya mengenai perkembangan di Malaysia serta rantau ini," kata duta itu yang merujuk kepada persidangan bertemakan ‘Keeping Asia Open – How to Achieve Prosperity and Stability itu yang berlangsung dari 11 hingga 1`2 Jun ini.

Dalam kenyataan mengenai lawatan  itu yang dikeluarkan di Kuala Lumpur, Kementerian Luar berkata kehadiran perdana menteri pada Persidangan Nikkei akan memberikan peluang kepada Malaysia untuk mengambil inisiatif bagi meningkatkan lagi kerjasama ekonomi antara negara-negara di rantau ini.

Lawatan  Dr Mahathir ke Tokyo juga dijangka tertumpu kepada usaha untuk menarik lebih banyak pelaburan Jepun ke Malaysia.


Untuk itu, perdana menteri berusia 92 tahun itu dijadual bertemu dengan ketua-ketua industri Jepun dari entiti perniagaan seperti Dewan Perniagaan dan Industri Jepun, Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun dan Persatuan Ekonomi Jepun-Malaysia.

Pertemuan Dr Mahathir dengan Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe serta sidang media bersama merupakan satu lagi kemuncak lawatan kerja itu.

Dalam ulasannya sebelum ini, pemimpin Malaysia itu berkata beliau berminat untuk mengukuhkan lagi hubungan Kuala Lumpur-Tokyo selain menyentuh tentang Dasar Pandang Ke Timur.

Ahmad  Izlan berkata: "Hakikatnya ia adalah satu daripada dasar luar negara yang paling berjaya dalam menjalinkan hubungan Malaysia-Jepun. Ia telah membentuk hubungan kita dalam pelbagai sektor seperti pendidikan, perdagangan dan pelaburan serta hubungan rakyat dengan rakyat."

Beliau berkata Jepun menghargai pengiktirafan Kuala Lumpuir mengenai peranannya dalam proses membangunkan Malaysia.

Kementerian Luar dalam kenyataannya berkata lawatan kerja itu membolehkan Malaysia mengetengahkan dasar semasa kepada Jepun dan negara-negara lain di rantau ini terutamanya yang berkaitan pelaburan dan perdagangan luar.


Dalam lawatan kerjanya itu, Dr Mahathir juga dijadualkan menyampaikan ceramah khas kepada wakil rakyat di Dewan Perwakilan Jepun.

"Saya difahamkan tidak ramai ketua kerajaan diberi penghormatan seperti ini," kata Ahmad Izlan sambil memberitahu bahawa rakyat Jepun menghormati Dr Mahathir dengan memberinya keistimewaan untuk berbuat demikian.

Dr Mahathir akan diiringi isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan para pegawai Kementerian Luar.

-- BERNAMA

No comments

Loading...