Header Ads

Dr M: 'Nilai Wajar Ringgit RM3.80 Sedolar'


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata nilai wajar ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) kini adalah sama seperti kadar tambatan mata wang itu yang diperkenalkan pada 1998 iaitu ketika krisis kewangan Asia.

Ditanya ketika dalam satu temubual mengenai apakah nilai wajar ringgit, Mahathir berkata, "3.8". Kadar itu adalah 5.0 peratus lebih tinggi berbanding kadar tukaran berbanding dolar AS semasa, yang juga adalah kadar terendah pertengahan 2015 susulan kebimbangan isu China-AS yang melanda negara pasaran baru muncul.

Loading...


"Kami mahu melihat nilai ringgit kukuh, tetapi ia harus secara semula jadi," kata Mahathir, arkitek kawalan modal 1998, yang akhirnya dilihat berjaya menstabilkan ekonomi Malaysia meskipun dikritik Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai langkah yang perlu dilaksanakan bagi membolehkan ringgit meningkat secara semula jadi.

Beliau menyatakan, dalam satu temubual di sini, bahawa mata wang tempatan terkesan secara tidak adil ekoran tekanan ke atas pasaran baru muncul.

Pengukuhan dolar, dipacu oleh langkah pengetatan dasar kewangan oleh Rizab Persekutuan. Turut menyumbang kepada keadaan itu adalah kebimbangan mengenai perang perdagangan AS-China yang akan menjejaskan permintaan aset negara sedang membangun.

"Masalah sebenar berpunca daripada keadaan ekonomi dunia, bukannya hanya masalah di sini," kata Mahathir berhubung penilaian ringgit semasa.

Mahathir, 92, kembali memimpin Malaysia selepas kemenangan mengejut dalam pilihan raya baru-baru ini, selepas 14 tahun meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.

Pentadbiran baharu yang diterajui beliau memberi amaran mengenai hutang Malaysia yang lebih tinggi berbanding anggaran oleh kerajaan sebelumnya, justeru mencetus kegusaran dalam kalangan pelabur asing.

Penanda aras pasaran saham susut 8.5 peratus sejak hari pilihan raya lalu, lebih tinggi berbanding penurunan indeks MSCI Emerging Markets iaitu 5.3 peratus.

Namun begitu, unjuran penganalisis yang dibuat selepas pilihan raya menunjukkan nilai mata wang tempatan itu akan meningkat pada tempoh akan datang.

Unjuran penengah kaji selidik Bloomberg RM3.95 sedolar menjelang hujung tahun ini. Jangkaan menunjukkan ia akan kekal lemah berbanding RM3.80 sedolar dalam tahun-tahun akan datang. - Bloomberg

No comments

Loading...