Header Ads

Loading...

Dr Idris calon MB Selangor?


KURANG dua minggu sebelum Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Selangor yang baharu, satu lagi nama wakil rakyat PKR, Dr Idris Ahmad disebut-sebut bakal mengisi kerusi panas itu.

Loading...

Portal berita The Malaysian Insight, dalam laporannya hari ini, menyebut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok itu dinamakan dalam surat cadangan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, Isnin lalu.

Dengan memetik sumber dalam kepemimpinan Pakatan Harapan (PH), laporan The Malaysian Insider itu menyebut surat cadangan itu turut mendapat sokongan daripada semua pemimpin PH negeri iaitu Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Selangor, Izham Hashim; Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Selangor Datuk Abdul Rashid Asari dan Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua (DAP).

"Surat berkenaan diterima Sultan pada 2.30 petang Isnin lalu," kata sumber yang dipetik.

Istana Selangor sebelum ini mengumumkan Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Selangor yang baharu dijadualkan pada 19 Jun ini di Istana Alam Shah, Klang, iaitu empat hari selepas umat Islam menyambut Aidilfitri.

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang ketika ini masih menyandang jawatan Menteri Besar Selangor, sebelum ini dilaporkan berkata, kemungkinan calon yang bakal menggantikannya bukan datang dalam kalangan barisan EXCO yang sudah dilantik.


Dr Idris yang juga Pakar obstetrik dan ginekologi berusia 71 tahun yang berkelulusan dari Australia itu memulakan khidmatnya di Hospital Kuala Lumpur pada 1973 selain menjadi pensyarah di Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebelum berpindah ke sektor swasta sejak 1979 hingga kini.

Beliau mulai terbabit dalam PKR sejak awal penubuhan parti itu sebelum menganggotainya pada 1999 dan menjadi Ketua Cabang PKR Segambut, Kuala Lumpur.

Beliau yang mempunyai keluarga di Ijok, dipilih menjadi calon PKR di DUN itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) selepas Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berpindah kawasan pilihan raya ke Pelabuhan Klang, sebelum mengekalkan parti berkenaan di kerusi berkenaan.

Kerusi Ijok sekali lagi dimenangi Dr Idris pada PRU-14 dengan mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) K Parthiban; PAS (Jefri Mejan) dan Parti Rakyat Malaysia (T Kumaran).

-mymetro

No comments

Loading...