Dana Didakwa Seleweng, Bos Tabung HRDF Letak Jawatan
KUALA LUMPUR, 22 Jun — Ketua pegawai eksekutif (CEO) Tabung
Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) Datuk Vignaesvaran Jeyandran telah meletak
jawatan berkuatkuasa semalam.
HRDF dalam kenyataan hari ini berkata timbalan CEO Lim Kah
Cheng akan mengambil alih sebagai pemangku CEO berkuatkuasa serta-merta.
“Menteri Sumber Manusia (M Kula Segaran) telah mengarahkan
HRDF untuk menubuhkan jawatankuasa tadbir urus pemantauan dengan mandat untuk
membantu lembaga pengarah HRDF dalam memenuhi tanggungjawab untuk membetulkan
kesilapan.
Loading...
“Jawatankuasa itu akan menyemak semula semua aspek rangka
kerja tabdir urus lembaga untuk memastikan lembaga berfungsi secara efektif dan
efisien, untuk menyokong operasi,” katanya.
Menurut kenyataan itu, anggota jawatankuasa itu akan
diumumkan selepas mesyuarat agung tahunan HRDF minggu depan.
Lim ialah pemegang ijazah sarjana muda teknologi Universiti
Sains Malaysia (USM) dan sarjana pentadbiran perniagaan (MBA) Universiti Putra
Malaysia (UPM).
Beliau juga ialah felo berkanun dengan Chartered Institute
of Personnel and Development (CIPD) serta felo pertama dengan Australian Human
Resources Institute (FAHRI).
Kula Segaran baru-baru ini dilaporkan berkata Kementerian
Sumber Manusia akan menubuhkan lembaga bebas dalam waktu terdekat untuk
menyiasat dan menyelesaikan aduan terhadap HRDF.
Beliau menggesa HRDF supaya lebih telus dengan dananya
berikutan terdapat banyak dakwaan dilemparkan di laman sosial dan media arus
perdana tentang penyelewengan dana.
HRDF sebelum ini berkata ia memandang serius dakwaan
berkaitan dana dan berikrar untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada
Kementerian Sumber Manusia dan pihak berkuasa relevan. — Bernama
Post a Comment