Header Ads

Cemas nampak kepala tenggelam timbul


RIADAH petang seorang pemuda bersama rakan wanitanya bertukar detik cemas apabila mereka terlihat kepala manusia tenggelam timbul, dipercayai lemas dalam kejadian di Sungai Melaka berhampiran Kampung Morten, di Melaka, petang semalam.

Loading...

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa K Suresh, 45, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri, sebelum disahkan meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, mayat mangsa kemudiannya dibawa naik ke darat dengan bantuan sepasukan anggota bomba sejurus menerima panggilan.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal kematian mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut, bagaimanapun pihaknya akan menunggu laporan bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar.

“Pemeriksaan yang dilakukan ke atas mayat mangsa tidak menemui sebarang kesan kecederaan disebabkan unsur jenayah. Turut ditemui pengenalan dirinya di dalam poket seluar.

“Mangsa ditemui lengkap berpakaian baju T dan berseluar panjang. Kejadian disedari seorang lelaki yang melihat kepala manusia tenggelam timbul berhampiran tangga batu di tebing sungai terbabit, sebelum bergegas mendapatkan bantuan pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi hari ini.


Afzanizar berkata, mayat mangsa sudah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.

“Polis juga sedang mengesan waris mangsa melalui kad pengenalan miliknya,” katanya.

No comments

Loading...