Header Ads

Calon Jawatan Tinggi Umno Disiasat SPRM


Seorang pemimpin tertinggi Umno akan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat berkaitan kes penyelewengan wang milik sebuah yayasan yang dipengerusikannya.

Sumber memberitahu Sinar Harian, pemimpin berkenaan merupakan menteri kanan dalam kabinet bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dan turut menawarkan diri bertanding jawatan tinggi Umno pada pemilihan hari ini.

Akhbar itu melaporkan siasatan SPRM sejak awal tahun ini mendapati pemimpin itu disyaki menggunakan lebih RM800,000 dana yayasan tersebut untuk membayar kad kredit miliknya dan isteri sejak 2014 hingga 2016.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Simi Abdul Ghani mengesahkan laporan Sinar Harian kelmarin mengenai kes penyelewengan itu.


Loading...

“Memang ada seorang pemimpin tinggi Umno sedang disiasat,” katanya ketika dihubungi akhbar terbabit.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan nama pemimpin terbabit atau memberi maklumat lanjut.

Dalam pada itu, sumber memberitahu Sinar Harian bahawa SPRM dipercayai berjaya mengesan beberapa dokumen transaksi pembayaran dilakukan pemimpin berkenaan.

Pada masa sama, SPRM juga sedang menyiasat kes penyelewengan dana dan salah guna kuasa beberapa tokoh politik, termasuk beberapa bekas menteri dan ketua bahagian parti.

Bagaimanapun, sumber itu enggan mendedahkan nama mereka yang disyaki terlibat.

Lima individu disenaraikan bertanding untuk jawatan Presiden Umno yang dikosongkan Najib selepas BN tumbang kepada Pakatan Harapan pada PRU14.

Mereka ialah pemangku Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; bekas Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin Abu Bakar; Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah; Ahli Umno Bahagian Bandar Tun Razak, Mohamed Iqbal Maricair dan ahli Umno Bahagian Iskandar Puteri, Mohd Yusof Musa@ Jamaluddin.

Jawatan Timbalan Presiden ditandingi oleh Pengerusi Umno Negeri Sembilan yang juga bekas menteri besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa.

Bertanding untuk jawatan Naib Presiden Umno pula ialah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin, Sheikh Razali Sheikh Hamad, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Datuk Seri Ahmad Said.

Ismail Sabri, Mohamed Khaled, Mahdzir, Tajuddin dan Johari ialah Ahli Majlis Tertinggi Umno.

No comments

Loading...