Header Ads

Birkin Himalaya terpakai RM866,000


London: Beg tangan Birkin Himalaya jenama Hermes bertatah berlian dan emas putih berusia 10 tahun, mencipta rekod sebagai beg paling mahal di Eropah selepas dibeli pada harga £162,500 (RM866,707).

Loading...

Beg tangan diperbuat daripada kulit tiga buaya itu dijual melalui lelongan oleh syarikat pelelong Christie’s di sini, mengatasi rekod harga sebelum ini iaitu £155,000 (RM826,510).

Menurut laporan Daily Mail, bagi beg tangan lama, harga itu mengatasi harga purata sebuah rumah di Scotland dan Wales.

Bagaimanapun, jurucakap Christie’s yang pakar dalam beg tangan dan aksesori, Rachel Koffsky, enggan mendedahkan siapa pembeli beg berkenaan.

“Kami mengutamakan kerahsiaan pelanggan dan tidak mendedahkan siapa pemiliknya,” katanya.

Dihiasi dengan 450 berlian dan emas putih, beg kulit buaya itu adalah versi Birkin paling diidamkan, malah dilaporkan ada tidak sampai 50 unit di seluruh dunia.

Berikutan terlalu eksklusif, Hermes tidak menjualnya kepada sebarang orang, termasuk selebriti, sebaliknya hanya golongan kaya dan selebriti senarai A berpeluang membeli Himalaya.

Antara yang memiliki beg tangan itu ialah Victoria Beckham, Tamara Ecclestone, Celine Dion dan Kim Kardashian.

Victoria, 44, antara yang bertuah mempunyai koleksi 100 beg tangan Birkin bernilai £1.5 juta (RM7.98 juta).


Suaminya, David Beckham menghadiahkan Victoria satu beg tangan Birkin Himalaya yang dihasilkan kali pertama pada 2008 bernilai £75,000 (RM399,356).

Selain itu, bintang realiti televisyen, Kim, 37, juga pernah dilihat membawa beg tangan Himalaya tanpa berlian pada 2014.

Beg tangan Birkin dilancarkan pada 1984 selepas ketua eksekutif pengeluar barangan mewah Perancis, Hermes iaitu Jean-Louis Dumas mendapat inspirasi daripada pelakon British, Jane Birkin.

Dia menaiki pesawat dan duduk di sebelah pelakon itu sambil terdengar Birkin mengeluh sukar mendapatkan beg kulit yang elok untuk digunakan pada hujung minggu.

Harga permulaan beg asas Hermes ialah sekitar £6,000 (RM23,961,) namun mereka yang mahu membelinya akan ‘ditemuramah’ oleh kakitangan Hermes sama ada layak atau tidak membelinya sebelum dimasukkan ke dalam senarai menunggu yang mungkin mengambil masa beberapa tahun.

-mymetro

No comments

Loading...