Header Ads

Asyraf, Zahida, Noraini galas tugas berat


SHAH ALAM - Tugas berat bakal menanti pimpinan sayap Umno yang baharu selepas pemilihan Umno kali ini.

Penganalisis politik berpendapat Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Wanita, Datuk Noraini Ahmad dan Ketua Puteri, Datuk Zahida Zarik Khan masing-masing perlu tampil dengan strategi berkesan bagi menawan kembali sokongan orang muda.

Loading...

Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak, Prof  Madya Dr Jeniri Amir berkata, keduanya perlu mengimbangi perubahan dalam kalangan orang muda hari ini yang dilihat lebih kritis terhadap perkembangan semasa.

"Ketua baharu harus memikirkan strategi dan pendekatan serta dasar yang betul-betul dapat diterima oleh golongan muda seduai dengan perubahan sentimen dan aspirasi golongan muda yang lebih kritis terhadap parti dan perkembangan dalam negara.

"Amat penting bagi mereka menarik lebih ramai pemimpin muda kerana sebenarnya dalam PRU lalu golongan muda memainkan peranan penting dalam mencorakkan pola pengundian sehingga memungkinkan Pakatan Harapan menang. Ini cabaran untuk Puteri dan Pemuda Umno," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Katanya, pemilihan pimpinan yang menampilkan wajah baharu juga penting bagi menjarak dan mengelakkan Umno dikaitkan dengan barisan lama yang terpalit dengan pelbagai imej negatif.

"Kesungguhan ditunjukkan perwakilan yang mahukan perubahan melalui pemilihan pimpinan baharu. Umno pasca PRU14 perlu lari daripada gaya dan imej lama.

"Kalau Umno dapat menampilkan wajah baharu, kepimpinan yang lebih dinamik, berintegriti dan berani untuk berubah, maka ini satu langkah awal yang tepat untuk rombakan besar-besaran seterusnya berusaha untuk menambat hati ahli khususnya golongan muda," katanya.

Tidak melihat Asyraf Wajdi sebagai halangan meskipun sudah berusia lebih 40 tahun, Jeniri berkata keseimbangan amat diperlukan dalam keadaan Umno sekarang.

"Saya percaya Umno perlu melakukan keseimbangan antara golongan muda dan berpengalaman. Dalam konteks sekarang, kebijaksanaan itu yang dipetik daripada pengalaman, amat penting.

"Sudah pasti perwakilan dah pertimbangkan berdasarkan perkiraan tertentu atas keyakinan, mereka inilah pemimpin selayaknya yang diyakini mampu melakukan pembaharuan dan menganjak Umno ke hadapan. Sekaligus berupaya mencetuskan semangat untuk bangkit," katanya.

Sementara Penganalisis Politik Universiti Utara Malaysia, Md Shukri Shuib berkata beliau tidak yakin pertukaran kepimpinan dalam Umno akan membantu meningkatkan pengaruh Umno dalam kalangan pengundi.


"Sehingga hari ini, Umno belum boleh dilihat mampu diperkuatkan dalam masa yang singkat. Soal tingkah laku Umno dalam masyarakat itu sedang menjadi satu tanda tanya bukan sekada soal tukar pemimpin atau siapa yang harus jadi pemimpin.

"Umno tak pernah jadi parti pembangkang sebelum ini.

Jadi bagi saya pemilihan kali ini masih kurang menarik untuk ketengahkan Umno dalam masyarakat," katanya.

Melihat kepada ketokohan Asyraf Wajdi yang bakal memimpin bahtera Pemuda Umno yang ditinggalkan Khairy Jamaluddin, Shukri berkata semuanya masih terlalu awal untuk dinilai.

"Cuma dari sudut profesionalisme dan kelayakan serta kredibiliti itu, memang ada pada beliau...cuma dalam politik ini berbeza dengan dunia korporat dan akademik.

"Dalam hal ini yang rakyat nak tengok ialah bagaimana Umno boleh berdepan dengan isu-isu masyarakat dengan lebih agresif dan terbuka untuk mendepani Umno sebagai salah satu wadah alternatif kepada kerajaan sedia ada. Asyraf perlu lebih agresif, termasuk juga Datuk Zahida Zarik," katanya.

Beliau juga mempertikaikan pemilihan kedua-dua ketua sayap Umno ini yang dilihat lebih kepada populariti.

"Kedua-duanya perlu keluar daripada ligkungan populariti  dan selebriti ini. Popularkan diri dalam akar umbi berkait hal kepentingan rakyat.

"Memang mereka itu kelihatan segak, popular dan glamor tapi ini bukan soal Juara Lagu, Anugerah Bintang Popular. Pokoknya bagaimana nak menjadi hero kepada rakyat," katanya.

No comments

Loading...