Header Ads

Angkat Sumpah Ahli Parlimen 16 Julai, Bersidang Keesokannya


Semua anggota Dewan Rakyat akan mengangkat sumpah jawatan pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen Keempat Belas yang akan bermula pada 16 Julai ini, selama 20 hari.

Setiausaha Dewan Rakyat Datuk Roosme Hamzah berkata majlis angkat sumpah itu akan dilakukan selepas pelantikan Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Istiadat pembukaan sidang Parlimen akan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V pada 17 Julai, katanya dalam kenyataan hari ini.

Loading...


Beliau berkata mesyuarat pertama bagi penggal ini akan dimulakan dengan usul menjunjung kasih dan perbahasan Titah Diraja selama dua minggu diikuti dengan sesi penggulungan oleh menteri-menteri pada minggu ketiga.

“Urusan minggu keempat dan kelima adalah perbahasan bagi rang undang-undang dan urusan kerajaan yang lain,” katanya.

Sehubungan itu, Parlimen akan mengadakan majlis taklimat anggota Dewan Rakyat pada 26 Jun ini di Dewan Bankuet, Parlimen sebagai pengenalan dan panduan kepada mereka berkaitan urusan persidangan dan kemudahan yang disediakan.

Sementara itu, Roosme berkata persidangan Dewan Negara akan berlangsung dari 27 Ogos hingga 13 Sept.

Anggota Dewan Negara juga akan menghadiri majlis perasmian mesyuarat pada 17 Julai ini, katanya. ― Bernama

No comments

Loading...