Header Ads

Anak Bunuh Ibu Ketika Umat Islam Solat Jumaat


KUALA LANGAT - Seorang wanita maut dipercayai dibunuh anak lelakinya sendiri di kediaman mereka di Taman Langat Utama, Kampung RTB Bukit Canggang di sini petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, mangsa berusia 50 tahun ditemui tidak sedarkan diri dengan tiga kesan tikaman pada kepala dan dada.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Deputi Superintendan Kamalariffin Aman Shah berkata, kejadian tersebut disedari suami dan anak mangsa berusia 12 tahun yang baharu pulang dari solat Jumaat kira-kira pukul 2.10 petang, lapor Kosmo.

Loading...


Beliau berkata, sebaik suami mangsa dan anaknya tiba di rumah mereka, suspek yang merupakan anak keenam daripada 10 beradik itu meluru berlari ke luar rumah dalam keadaan tangan berdarah dan hanya memakai tuala.

"Suspek terus melarikan diri ke arah kiri jalan raya sebelum dikejar oleh ayahnya. Adik lelaki suspek telah masuk ke dalam rumah dan menemui ibu mereka terbaring tidak sedarkan diri di bahagian dapur," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Kamalariffin berkata, siasatan pihaknya di lokasi kejadian mendapati mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat tikaman pada kepala dan dada.

"Kita turut menemui sebilah pisau yang masih terdapat kesan darah berada berdekatan mangsa.

"Siasatan awal mendapati, semasa kejadian hanya mangsa, suspek dan lima kanak-kanak asuhan berusia lingkungan dua hingga empat tahun berada di rumah tersebut, namun kanak-kanak itu tidak mengalami sebarang kecederaan," jelasnya.

Tambah beliau, ketika ditahan suspek kelihatan seperti kurang waras, bagaimanapun, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian dan motif pembunuhan tersebut.

 “Mayat mangsa dibawa ke Hospital Banting untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

No comments

Loading...