Header Ads

3 lagi wakil rakyat PKR dilantik menteri

EMPAT Ahli Parlimen PKR akan dilantik menganggotai Jemaah Menteri iaitu Dr Xavier Jayakumar (kiri atas), Datuk Saifuddin Nasution Ismail (kanan atas), Baru Bian (kiri bawah) dan Darell Leiking (kanan bawah). Foto ARKIB NSTP

SERAMAI empat lagi Ahli Parlimen PKR akan dilantik menganggotai Jemaah Menteri yang dijadual mengangkat sumpah pada 2 Julai ini.

Loading...

Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dr Afif Bahardin berkata, ia menjadikan jumlah keseluruhan wakil PKR yang dilantik menjadi menteri adalah seramai tujuh orang.

Katanya, Naib Presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar akan dilantik sebagai Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, manakala Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

“Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian pula akan dilantik sebagai Menteri Kerja Raya dan Ahli Parlimen Penampang, Darell Leiking sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

“Manakala, tujuh Ahli Parlimen PKR akan dilantik bagi jawatan Timbalan Menteri dalam Kabinet,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-33/2018 Persatuan Nelayan Pulau Pinang di Bayan Lepas, hari ini.

Sebelum ini, Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat; Naib Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Menteri Hal Ehwal Ekonomi) dan Ketua Wanitanya, Zuraidah Kamaruddin (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan).

Dr Afif yang juga EXCO Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri berkata, Ketua Setiausaha Sekreteriat PH merangkap Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah pula akan dilantik sebagai Timbalan Menteri Luar.

Katanya, Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin akan dilantik sebagai Timbalan Menteri Industri Utama, manakala Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa sebagai Timbalan Menteri Luar Bandar dan Masyarakat.


“Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamaruddin Jaffar akan dilantik sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan, manakala Ahli Parlimen Kuala Pilah, Eddin Syazlee pula Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia.

“Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin akan dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama),” katanya.

No comments

Loading...