Header Ads

1MDB: Ahmad Said Sahkan 17 Muka Surat Dokumen TIA


PUTRAJAYA: Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said hadir ke Ibu Pejabat SPRM bagi mengesahkan 17 muka surat dokumen yang dikemukakan terhadapnya berhubung syarikat asal 1MDB, Terengganu Investment Authority Berhad (TIA).

"Mereka kemukakan 17 muka surat. Yang mana benar saya sahkan," katanya.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut butiran kandungan muka surat tersebut.

"Saya tidak mahu ganggu siasatan," katanya.


Loading...

Menurutnya, kehadirannya untuk menjelaskan beberapa perkara berkaitan dengan TIA sebelum kerajaan negeri menarik balik syarikat itu dan diambil alih oleh Kerajaan Persekutuan yang ditukar nama sebagai 1MDB.

Beliau berkata, rakaman keterangan diambil hampir lima jam.

"Ia bermula jam 10.50 pagi dan berakhir 4 petang," katanya.

Beliau menegaskan, kehadirannya ke Ibu Pejabat SPRM adalah secara sukarela.

"Kebetulan semalam ada temu bual dengan Astro Awani, jadi saya ambil kesempatan ini untuk hadir ke SPRM.

"Saya juga sedia memberikan kerjasama sekiranya diperlukan lagi," katanya.

Adun Kijal itu hadir ditemani menantunya, Syahirpul Musa dilihat memasuki pekarangan SPRM jam 9.30 pagi.

Sebelum ini, Ahmad mengulangi pendiriannya sedia bekerjasama dengan SPRM berhubung syarikat pelaburan kontroversi itu.

1MDB ditubuhkan sebagai sebuah syarikat di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) mempunyai kaitan secara langsung dengan Terengganu Investment Authority Berhad (TIA).

TIA ditubuhkan Kerajaan Terengganu pada 27 Februari 2009 yang ketika itu diterajui oleh Ahmad.

Tujuan asal penubuhan TIA adalah untuk mewujudkan dana kekayaan negara (Sovereign Wealth Fund) dengan dana permulaan berjumlah RM11 bilion.

-Sinar Harian

No comments

Loading...