Header Ads

Loading...

'Toyol' dalam tandas


Kuala Lumpur: Sengaja mengunci diri di dalam tandas selama hampir satu jam.

Itu helah digunakan seorang ‘toyol’ kasut apabila kegiatan jenayah mencuri kasut dikesan penduduk sebuah kuarters di Cheras di sini, awal pagi semalam.

Loading...

Bagaimanapun, helahnya itu berjaya dihidu penduduk kuarters berkenaan sebelum bertindak menahan lelaki berusia dalam lingkungan 30-an itu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, dalam kejadian jam 12.05 tengah malam itu, suspek yang cuba mencuri sepasang kasut di hadapan rumah penduduk disergah salah seorang penghuni yang terlihat kegiatannya itu.

“Seorang penghuni wanita ternampak suspek yang ketika itu cuba mencuri sepasang kasut menggunakan payung.


“Wanita itu segera memaklumkan suaminya berhubung tindakan suspek. Suami wanita terbabit kemudian menyergah suspek menyebabkan penjenayah itu melarikan diri.

“Sergahan itu menyebabkan suasana menjadi kecoh dan penduduk kuarters itu segera bertindak memburu suspek di sekitar tempat tinggal mereka,” katanya ketika dihubungi.

Ghani berkata, suspek akhirnya berjaya ditahan selepas salah seorang daripada penduduk mendapati pintu salah sebuah tandas dalam keadaan berkunci.

“Penduduk itu mengetuk pintu tandas itu berulang kali sambil bertanya identiti individu yang berada di dalam tandas itu.

“Bagaimanapun, suspek mematikan diri. Salah seorang penduduk kemudian menggunakan telefon pintarnya untuk mengambil gambar di dalam tandas berkenaan sebelum mendapati seorang lelaki sedang menyorok di dalamnya.

“Suspek kemudian menyerah diri selepas dipaksa keluar dari tandas berulang kali oleh penduduk. Suspek seterusnya mengaku cuba mencuri kasut.

“Polis kemudian dimaklumkan berhubung tangkapan berkenaan sebelum suspek dibawa ke Balai Polis Cheras untuk tindakan lanjut,” katanya.

-mymetro

No comments

Loading...