Header Ads

Loading...

Tak sempat sahur


SAYA sudah sediakan juadah untuk bersahur, namun kami anak beranak tak sempat menjamahnya selepas rumah terbakar."

Demikian luah Mariana Mapaenre, 31, antara mangsa kebakaran membabitkan lima rumah dan sebuah rumah kongsi tiga pintu di Kampung Merotai Besar, Tawau, tengah malam tadi.

Loading...

Kebakaran bermula 12.30 tengah malam itu mengakibatkan 43 penghuni daripada 11 keluarga hilang tempat tinggal.

Menceritakan kejadian itu, Mariana berkata, dia sudah membuat persiapan awal untuk bersahur iaitu menyediakan ayam masak lengkuas yang menjadi kegemaran keluarganya.

Katanya, ketika kejadian mereka lima beranak nyenyak tidur sebelum dikejutkan bunyi bising dan riuh rendah di luar rumah yang mulanya disangka kumpulan budak kampung mengejutkan penduduk untuk bangun bersahur.


"Apabila saya keluar, saya terkejut apabila mendapati api sudah marak di rumah jiran sambil orang ramai menjerit minta kami menyelamatkan diri," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Sharudy Delamin berkata, seramai 26 anggota bersama dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan 12.42 malam.

Katanya, bomba kemudian menjalankan operasi pemadaman selain membuat pemeriksaan keselamatan sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada 4.10 pagi.

Sementara itu dalam kejadian berasingan, kesukaran mendapatkan sumber air mengakibatkan lima rumah hangus di Kampung Bum-Bum, Semporna.

Dalam kebakaran 1.16 pagi itu, bomba terpaksa merobohkan struktur berhampiran bagi mengelak api merebak seterusnya kemungkinan menyebabkan lebih banyak rumah musnah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Semporna, Fazizul Hizam Borhan berkata, pihaknya yang dibantu Pasukan Polis Marin terpaksa membuat 'fire break' berikutan kawasan perkampungan atas air itu tiada sumber air terbuka, selain air laut surut ketika kejadian.

Kaedah 'fire break' digunakan ialah merobohkan struktur berhampiran bagi membantu mengawal kebakaran di kawasan yang tidak mempunyai air.

"Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan punca kejadian masih dalam siasatan. Operasi tamat sepenuhnya pada 4.50 pagi," katanya.

-mymetro

No comments

Loading...