Header Ads

Sebulan bekerja kaut RM2.5 juta


Gombak: Apa sudah jadi apabila seorang pengurus syarikat merompak wang tunai RM2.5 juta milik syarikatnya sendiri bersenjatakan senapang.

Dalam kejadian jam 3 pagi semalam, semua wang itu diletakkan di bilik kebal di syarikat kawalan keselamatan di Sungai Dua, Rawang di sini.

Loading...

Suspek lelaki berusia 38 tahun itu dikatakan datang ke syarikat kawalan keselamatan berkenaan untuk menumpang tidur jam 9 malam kelmarin.

Kakitangan syarikat kawalan keselamatan itu yang enggan namanya didedahkan berkata, suspek yang baru sebulan bekerja di syarikat berkenaan memaklumkan mahu menumpang tidur di pejabat itu.

Katanya, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pejabat berkenaan, lelaki itu dilihat keluar pada jam 12 tengah malam sebelum masuk semula ke premis berkenaan jam 2 pagi.


“Pada jam 3 pagi, tiga pengawal keselamatan yang bertugas dikejutkan lelaki berkenaan yang memaklumkan bilik kebal tidak berkunci.

“Lelaki itu kemudian berlari ke bilik kebal berkenaan yang terletak di tingkat atas bangunan sambil membawa senapang.

“Sebaik tiba di bilik kebal berkenaan, suspek mengacu senapang di belakang badan tiga pengawal keselamatan terbabit sebelum mengurung mereka di bilik berhampiran,” katanya.

Suspek kemudian menceroboh ke bilik kebal dan memasukkan wang tunai RM2.5 juta ke dalam beg miliknya.

“Semua wang itu dikumpul daripada pelbagai syarikat dan agensi pada 8 Mei lalu dan dijadualkan akan dimasukkan ke bank, semalam,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Kakitangan syarikat itu berkata, setiap pergerakan lelaki terbabit berjaya dirakam CCTV di pejabat syarikat berkenaan.

“Dia dilihat mengambil masa kira-kira 20 minit untuk memasukkan wang tunai terbabit ke dalam beg miliknya sebelum melarikan diri dengan menaiki motosikal.

“Pengawal keselamatan yang dikurung di bilik berasingan itu memaklumkan suspek memberitahu dia terpaksa merompak wang berkenaan kerana berdepan masalah keluarga selepas bercerai dengan isterinya.

“Lelaki itu juga meninggalkan senapang yang dirampas daripada pengawal keselamatan di bilik kebal terbabit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

“Kejadian itu didalangi orang dalam. Usaha memburu suspek giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan serta samun bersenjata,” katanya.

-mymetro

No comments

Loading...