Header Ads

PRU14 bukti rakyat Malaysia bertamadun


PILIHAN Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah contoh baik untuk dunia Islam saksikan, yang mana penukaran kerajaan berlaku tanpa menumpahkan setitis darah.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, keputusan PRU itu menunjukkan rakyat Malaysia tinggi tamadun dan sikapnya.

Loading...

“Keputusan itu membatalkan andaian sesetengah pihak dalam pengajian Islam yang mengharamkan penukaran kerajaan atas alasan akan menumpahkan darah.

“Lebih malang lagi, kalangan golongan literalis nas yang membicarakan tentang pengharaman penukaran kerajaan tanpa memahami illah ataupun punca hukum pengharaman itu iaitu penumpahan darah,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Asri berkata, sarjana Fekah dahulu mengharamkan penukaran kerajaan kerana berdasarkan pengalaman yang mereka nukil dan saksi proses itu akan menyebabkan tumpah darah dan kekacauan yang sukar untuk dihentikan.


“Rakyat Malaysia membuktikan bahawa sikap yang baik dan demokratik boleh menjadikan proses itu aman dan memberikan manfaat kepada rakyat.

“Kitab-kitab Fekah khususnya dalam masalah siyasah (mentadbir sesuatu perkara) yang ditulis dalam kurun yang lepas hendaklah dibaca dengan memahami konteksnya yang mungkin berbeza.

“Maka, bukan semua pandangan sarjana yang lepas sesuai untuk diamalkan di masa kini,” katanya.

Keputusan PRU lalu menyaksikan buat pertama kali dalam sejarah Barisan Nasional (BN) kalah dan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

PH meraih 113 kerusi diikuti BN dengan 79 kerusi manakala PAS pula menang 18 kerusi Parlimen, diikuti Parti Warisan Sabah (8); Parti Solidariti Tanah Airku (1) dan Bebas (3).

-mymetro

No comments

Loading...