Header Ads

Loading...

Pelantikan MB Bukan Untuk Puak Tertentu: Raja Perlis


KANGAR - Raja Perlis,  Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah  menegaskan bahawa pelantikan menteri besar  akan dibuat berpandukan undang-undang tubuh kerajaan negeri dan tidak akan dibuat untuk memenuhi kepentingan seseorang individu atau puak tertentu.

Menurut baginda menteri besar yang dilantik kelak mestilah boleh melaksanakan projek pembangunan  yang dirancang berikutan Perlis kini menjadi negeri pembangkang setelah BN tewas kepada  Pakatan Harapan (Harapan) pada Pilihan Raya Umum  ke-14 (PRU14) Rabu lepas.

“Keputusan yang akan saya buat nanti adalah atas  nama rakyat,” titah baginda yang sedar bahawa rakyat dalam kegelisahan kerana jawatan itu masih belum dipenuhi.

Loading...


Baginda menasihatkan rakyat supaya bersabar menunggu pelantikan itu.  

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah menutup program Perkampungan Sunnah di Masjid Alwi di sini, malam tadi.

Program siri kelima itu bermula Jumaat lepas turut dihadiri umat Islam dari beberapa negara antaranya Singapura, Brunei, Thailand dan Indonesia.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berangkat sama pada majlis itu.

Berikutan PRU14, Perlis kekal di bawah penguasaan BN yang memenangi 10 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri. Jawatan menteri besar sebelum ini disandang oleh Datuk Seri Azlan Man.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim dilaporkan  mempersembahkan beberapa nama termasuk adiknya Datuk Ismail  Kassim kepada Tuanku Syed Sirajuddin  Sabtu lepas untuk mendapat perkenan baginda.

“Ada beberapa nama dibawa kepada saya tetapi saya tidak dapat buat keputusan kerana  tidak  mengenali  mereka langsung.

“Pihak yang menang sepatutnya bawa calon-calon mereka untuk diperkenalkan supaya mudah untuk saya membuat keputusan tetapi perkara itu tidak dilakukan,” titah baginda.

Pada 2008 pelantikan menteri besar mengambil masa hingga dua minggu.

Dalam pada itu, baginda berharap Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak meminggirkan Perlis sebagai negeri pembangkang.

Baginda mengucapkan tahniah kepada PH atas kemenangan mereka pada PRU14. - Bernama

No comments

Loading...