Header Ads

Najib Dan Rosmah Disenarai Hitam Jabatan Imigresen


Berdasarkan carian di Semakan Status Perjalan Imigresen (SSPI) bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor disenaraihitamkan oleh Jabatan Imigresen.

Pangkalan data itu yang membenarkan rakyat Malaysia memeriksa sama ada mereka boleh ke luar negara sejak semalam dan sehingga berita ini ditulis (5.30 pagi) tidak dapat diakses.

Siasatan Malaysiakini mendapati laman web berkenaan hanya tidak dapat diakses dari dalam Malaysia. Sekiranya diakses dari dalam negara tanpa menggunakan proksi, laman web berkenaan akan menunjukkan ia tidak dapat diakses (down).


Loading...

Bagaimanapun, dengan menggunakan proksi luar negara, Malaysiakini berjaya mengakses sistem laman web berkenaan untuk memeriksa status Najib dan Rosmah menggunakan nombor kad pengenalan mereka.

Nombor kad pengenalan itu juga sudah disemak dalam rekod Suruhanjaya Pilihan Raya bagi mengesahkan identitinya.

Semakan mendapati dengan memasukkan nombor kad pengenalan Najib (530723-06-XXXX) dan Rosmah (511210-05-XXXX) paparan keputusan tertera "Sila rujuk ke pejabat imigresen".



Ia adalah paparan yang tertera bagi anggota parlimen Pakatan Harapan dan aktivis politik yang tidak dibenarkan ke luar negara sebelum ini.

Lazimnya, sekiranya individu itu tidak disenaraihitamkan oleh Imigresen, paparan keputusan yang tertera adalah "Tiada Halangan".

Tidak dapat dipastikan sama ada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) atau Jabatan Imigresen membuat tetapan (setting) di laman web itu bagi menghalang akses dari dalam negara.

Ini bererti Najib dan Rosmah tidak dapat memeriksa status imigresen mereka kecuali menggunakan proksi.

Penyenaraianhitam bekas perdana menteri dan isterinya itu terjadi ketika terdapat laporan semalam berhubung penerbangan yang menunjukkan mereka merancang untuk ke Lapangan Terbang Subang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Perdanakusuma di Jakarta.

Najib dan Rosmah dikatakan akan menaiki kapal terbang persendirian yang dioperasikan oleh Premiair.

Premiair adalah syarikat yang dimiliki oleh Peter Sondakh, yang juga merupakan pengasas PT Rajawali Corp.

No comments

Loading...