Header Ads

Loading...

Monyet jadi pelanggan?


Melaka: Sindiran yang dilemparkan lima tahun lalu selepas mengambil keputusan membuka perniagaan kedai runcit di tengah kebun getah yang tiada penduduk nyata tidak mematahkan semangat Hamidah Abdul, 56, meneruskan perancangannya itu.

Ternyata usaha wanita itu membuahkan hasil apabila mempunyai seramai 150 pelanggan tetap setiap bulan yang akan mendapatkan barangan dari premis perniagaannya.

Loading...

Bermodalkan hanya RM5,000, ibu kepada dua anak lelaki itu bersama adik sepupunya, Fauziah Mansor, 52, mengambil keputusan berani menjalankan perniagaan runcit sebagai punca pendapatan.

“Ramai yang tidak percaya dengan keputusan kami membuka kedai runcit di lokasi sebegini, malah ada yang bercakap ‘monyet ke yang akan jadi pelanggan’, tetapi sindiran itu dianggap sebagai penguat semangat.

“Walaupun jauh di sudut hati terselit perasaan bimbang dan menyangka perniagaan tidak akan bertahan, berkat usaha dan strategi yang digunakan, perniagaan kami mendapat sambutan,” katanya ketika ditemui di premisnya di Jalan Tun Razak-Tehel, Jasin di sini, semalam.


Hamidah berkata, dengan menggunakan strategi 3P iaitu pesanan, penghantaran dan perkhidmatan percuma, ternyata ia berkesan apabila keperluan dan permintaan pelanggan dapat dipenuhi.

“Premis kami tidak seperti kedai runcit lain yang dikunjungi setiap waktu, sebaliknya pelanggan yang memerlukan barangan keperluan hanya perlu membuat pesanan melalui aplikasi WhatsApp.

“Malah, ada antara mereka (pelanggan) masih menggunakan cara tradisional iaitu dengan menggunakan surat yang dihantar melalui posmen.

“Selepas pesanan diterima, barangan dihantar ke destinasi tanpa sebarang caj penghantaran. Kami tidak hadkan kawasan penghantaran, malah rata-rata pelanggan tinggal di Kampung Jus, Chohong, Simpang Kerayong, Chenderah dan Durian Tunggal,” katanya.

Katanya, dia juga bertindak dalam menguruskan perbelanjaan dapur pelanggannya bagi memastikan pesanan dan jumlah wang yang dibelanjakan itu dapat menampung barangan dapur mereka.

“Walaupun saya berniaga dan perlu memastikan stok barangan terjual, saya kena fikirkan kehidupan mereka kerana tidak semua berkemampuan.

“Apabila pelanggan memberitahu perbelanjaan mereka antara RM200 hingga RM300, saya perlu sediakan barangan secukupnya seperti beras, tepung dan minyak masak supaya ia tidak terputus sebelum akhir bulan,” katanya.

-mymetro

No comments

Loading...