Header Ads

Mati anak terbela


Kuala Terengganu: “Ini hadiah Hari Ibu paling bernilai buat saya,” kata Fadilah Abd Wahab selepas dia dan suami, Muhamad Sardi Saad, menang kes saman Hospital Besut atas kematian anak perempuan mereka di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz mengarahkan defendan yang terdiri daripada 10 doktor, dua pengarah Hospital Besut dan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) serta Kerajaan Malaysia membayar tuntutan ganti rugi am sebanyak RM600,000, ganti rugi teladan RM200,000 dan ganti rugi khas RM96,792.13 kepada pasangan itu.

Loading...

Fadilah, 48, dan Muhamad Sardi, 42, selaku plaintif memfailkan tuntutan saman terhadap Hospital Besut melalui peguam, Tetuan Syukran Noordin Advocates & Solicitors bagi menuntut keadilan atas kematian Ulya Insyirah berusia empat tahun akibat kecuaian hospital berkenaan pada Disember 2015.

Pasangan guru itu memfailkan saman RM10 juta terhadap doktor dan Hospital Besut kerana didakwa cuai hingga mengakibatkan kematian Ulya Insyirah.

Plaintif menuntut ganti rugi am kerana kecuaian pihak berkenaan hingga menyebabkan kematian anak mereka yang mengalami bengkak dalaman serius kerana kemasukan air atau lebihan ubat rawatan.


Fadilah berkata, keputusan yang memihak kepadanya dan suami bukan saja satu kemenangan untuk Allahyarham anaknya, tetapi juga membersihkan namanya dan suami yang dituduh sengaja mereka cerita berhubung kecuaian hospital itu.

“Masyarakat memandang serong terhadap kami menuduh kami tidak dapat menerima ketentuan Ilahi dan sengaja mereka cerita semata-mata hendak mendapatkan duit ‘percuma’.

“Mereka tidak tahu tujuan asal kami hendak memberi pengajaran supaya kejadian menimpa arwah tidak akan berlaku lagi kepada keluarga lain,” katanya.

Dalam kejadian pada 5 Disember 2015, Ulya Insyirah yang juga anak bongsu daripada tiga beradik dibawa ke Hospital Besut kerana mengalami muntah-muntah sebelum menerima rawatan dengan dimasukkan air.

Ia disusuli dengan kejadian tangan dan badan Ulya Insyirah bengkak sebelum Fadilah memohon supaya doktor melakukan pemeriksaan X-ray dan keputusan mendapati ada tompokan putih iaitu lebihan air dalam paru-paru.

Ulya Insyirah akhirnya tidak sedarkan diri sebelum seorang doktor memasukkan ubat.

Bagaimanapun, kelemahan material seperti plug rosak serta kehabisan gas dan tiada kepakaran, Allahyarham dikejarkan ke HSNZ jam 5 pagi, keesokan harinya.

Bagaimanapun, sebaik tiba di sana jam 6.50 pagi, Allahyarham dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sebelum disahkan meninggal dunia jam 8.05 pagi.

-my metro

No comments

Loading...