Header Ads

Kombinasi penyebab punca kematian Zulfarhan


HASIL bedah siasat terhadap mayat penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Pegawai Kadet Zulfarhan Osman Zulkarnain mendapati beberapa kombinasi penyebab menjadi punca kematian mangsa, kata pakar forensik di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Pakar Perubatan Forensik Hospital Serdang, Dr Salmah Arshad, 37, berkata, antara tanda yang kelihatan pada mangsa adalah hipervolemia, jantung bengkak dan kerosakan pada sel ginjal.

Loading...

Menurutnya, kombinasi daripada ketiga-tiga elemen itu boleh menyebabkan kematian.

Saksi keenam itu berkata demikian pada sesi soal balas oleh peguam Datuk Seri M Ramachelvam pada perbicaraan kes membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman.

Pada perbicaraan itu, Dr Salmah turut bersetuju dengan cadangan Ramachelvam bahawa sekiranya Zulfarhan Osman diberi rawatan segera pada kecederaan melecur yang dihadapinya, kadar peratusan mangsa untuk terus hidup akan meningkat.

Beliau juga bersetuju dengan cadangan peguam bahawa dengan usia mangsa yang masih muda dan tiada risiko kesihatan boleh meningkatkan kadar peratusan survival mangsa.


Dalam kes itu, enam penuntut iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali, didakwa membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman di Bilik 04-10, Blok Penginapan Asrama Jebat, UPNM, di antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei tahun lalu.

Pertuduhan terhadap mereka yang semuanya berusia 22 tahun itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mereka bersama 13 penuntut lain turut didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mangsa bagi maksud hendak memerasnya untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung Rabu ini.

-my metro

No comments

Loading...