Header Ads

Kesiannya dia...


HAMPIR 24 jam hilang, kanak-kanak perempuan hiperaktif ditemui cedera dalam parit sedalam lebih satu meter di ladang kelapa Sawit Sengkang, Pasir Panjang, Port Dickson, hari ini.

Loading...

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBDP) Telok Kemang, Mohd Kamal Mohd Timar berkata, kanak-kanak berusia dua tahun itu hilang dari rumahnya di Kampung C, Batu 18, di sini, 4.30 petang, semalam menyebabkan keluarganya cemas.

Katanya, ahli keluarga dan penduduk kampung bertindak mencarinya, namun gagal sehingga 4.50 pagi, hari ini.

"Ibu bapa mangsa menghubungi pihak bomba 4.55 pagi bagi mendapatkan pertolongan. Seramai 24 anggota dikerahkan ke lokasi dan dibantu pihak polis serta orang awam," katanya.


Mohd Kamal berkata, pihaknya memulakan pencarian di sekitar ladang 5.20 pagi dan membahagikan kepada tiga kumpulan.

"Selepas sembilan jam mencari, mangsa ditemui terjatuh dalam parit sedalam lebih satu meter, 2.25 petang. Kami sebak mengangkat kanak-kanak itu dan mendapati dia cedera di kepala, tangan dan kaki selain calar dan lebam di anggota badan," katanya.

Beliau berkata, lokasi kanak-kanak itu ditemui dianggarkan sejauh dua kilometer daripada rumahnya.

"Berdasarkan siasatan awal, ibu bapa mangsa berusia 40-an memaklumkan anak mereka adalah kanak-kanak hiperaktif. Ini bukanlah kejadian pertama kerana mangsa sebelum ini pernah hilang, namun berjaya ditemui," katanya.

Mohd Kamal menegaskan, kejadian itu bukanlah disebabkan masalah keluarga atau penculikan sebaliknya mangsa seorang yang aktif.

"Buat masa ini kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Port Dickson (HPD) selepas hampir 24 jam tidak makan. Biarpun mangsa cedera, syukurlah keadaannya selamat," katanya.

-my metro

No comments

Loading...