Header Ads

Loading...

Jamin Keselamatan Sirul Jika Kembali Ke Malaysia


SHAH ALAM - Kerajaan Pakatan Harapan (Harapan) digesa memberikan jaminan keselamatan untuk membawa pulang bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Sirul Azhar Umar ke negara ini.

Pengarah Eksekutif Pusat Memerangi Rasuah dan Kronismes (C4), Cynthia Gabriel berkata, Sirul Azhar yang dijatuhkan hukuman mati kerana membunuh model sambilan, Altantuya Shaariibuu 12 tahun lalu, boleh menjadi saksi utama dalam kes kematian model sambilan itu.

"Tiada sebab dia (Sirul Azhar) duduk di Australia, tetapi pihak di sana tidak akan menghantar balik (Sirul Azhar ke Malaysia) kerana telah dijatuhkan hukuman mati.

Loading...


"Jadi kerajaan baharu perlu bagi jaminan keselamatan dan nyawanya serta perlukan kerjasama untuk menyelesaikan kes kematian Altantuya," katanya.

Sirul Azhar melarikan diri ke Australia sebelum Mahkamah Persekutuan membuat keputusan terhadap kesnya.

Undang-undang negara itu melarang pihak berkuasa memulangkan seseorang ke negara lain untuk berdepan hukuman mati.

Dalam pada itu, Cynthia juga menggesa kerajaan baharu membuka semula siasatan ke atas skandal kapal selam Scorpene yang masih belum ada penyelesaiannya sehingga kini.

"Skandal kapal selam ini sudah lama dan ia melibatkan kehilangan jumlah wang yang besar. Saya harap, kes ini dibuka semula dan Kementerian Pertahanan pimpinan Mohamad Sabu serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bekerjasama dalam hal ini.

"Menteri Pertahanan yang baharu memang sedia maklum dengan skandal kapal selam ketika beliau masih dalam parti pembangkang lagi dan ia melibatkan jenayah rasuah yang cukup besar," katanya.

Beliau turut mendesak kerajaan menyiasat semula kes skandal besar termasuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang masih menjadi tanda tanya sehingga kini.

- Sinar Harian

No comments

Loading...