Header Ads

Halang Najib Ke Luar Negara Bukan Sebab Dendam


SHAH ALAM - Kerajaan tidak berhasrat membalas dendam apabila larangan ke luar negara dikeluarkan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, keputusan itu telah dibuat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan kerjasama Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

"Perdana Menteri meyakini bahawa ada beberapa perkara perlu disiasat terlebih dahulu.

Loading...


"Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, bahawa kerajaan Pakatan Harapan tidak akan membalas dendam sebaliknya bergantung kepada bukti dan fakta yang digunakan bagi menyiasat seseorang," jelasnya yang ditemui pada Majlis Ramah Mesra Petugas Pilihan Raya Parlimen Kota Raja, hari ini.

Katanya, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan dibawa masuk ke dalam Akta Rahsia Rasmi (OSA) agar ia boleh turut dibaca orang awam.

"Kalau ada apa-apa bukti yang menunjukkan bekas perdana menteri bersalah maka beliau akan didakwa.

"Jika tidak, tiada sebarang tindakan dikenakan," jelasnya.

Ditanya mengenai tempoh larangan dan siasatan, Mohamad berkata ia bergantung kepada kecekapan badan PAC menjalankan siasatan mereka.

Berhubung isu tanah yang milik Angkatan Tentera Malaysia yang dibangkitkan Tan Sri Rafidah Aziz sebelum ini, Mohamad berkata sebarang dakwaan akan disusuli dengan siasatan terlebih dahulu sebelum sebarang kenyataan rasmi dibuat.

April lalu, Rafidah mengeluarkan kenyataan yang mendakwa bekas perdana menteri selaku menteri pertahanan pada 2008 telah mengesyorkan penswastaan lebih 40,000 hektar tanah ATM kepada sebuah syarikat milik tiga individu dan telahpun diluluskan serta dilaksanakan. - Astro Awani

No comments

Loading...