Header Ads

Loading...

2 ADUN 'khianat' parti


Kuala Lumpur: Jawatankuasa Disiplin UMNO akan menyiasat kesahihan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu di Perak yang menyokong pelantikan Ahmad Faizal Azumu daripada parti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebagai Menteri Besar ke-12.

Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan sama ada menggugurkan dua ADUN itu hanya diputuskan selepas siasatan dijalankan.

Loading...

Beliau berkata, parti maklum dengan tindakan dua ADUN berkenaan.

“Mengikut perlembagaan parti, tindakan menyokong membuktikan mereka mengkhianati parti dan boleh dikenakan tindakan disiplin termasuk boleh digugurkan keahliannya,” katanya pada sidang media pertama, semalam.

Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan negeri Perak menerusi majoriti mudah 31 kerusi selepas dua ADUN BN menyertai pakatan berkenaan.


Dua ADUN itu adalah bekas Exco Kerajaan Perak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin dan ADUN Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi.

Semalam, kedua-duanya mengesahkan bukan melompat parti, sebaliknya hanya menyokong pelantikan Menteri Besar.

Bagaimanapun, semalam, di Ipoh, Zainol Fadzi mengumumkan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bersama lebih 200 ahli UMNO.

Selain itu, tiga Timbalan Ketua Bahagian UMNO turut mengumumkan menyertai PPBM.

Majlis penyerahan borang keahlian PPBM itu diketuai Zainol Fadzi Paharuddin kepada Menteri Besar yang juga Pengerusi PPBM negeri, Ahmad Faizal Azumu.

Tiga Timbalan Ketua Bahagian UMNO itu ialah Datuk Abdul Muhaimin Abdul Rahman Nazri (Bagan Serai), Datuk Naziruddin Bandi (Teluk Intan) dan Datuk Kamarul Rashdan Salleh (Tanjung Malim), selain Ketua Penerangan UMNO Bahagian Tapah, Pazli Abdullah.

Selain itu, beberapa Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian, ketua sayap Wanita, Puteri dan Pemuda Bahagian UMNO dan bekas pimpinan cawangan turut mengambil tindakan sama.

-mymetro

No comments

Loading...