Header Ads

Loading...

1MDB: SPRM mahu siasatan lanjut tapi Apandi tolak


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menemui bukti pada lewat 2015 bahawa RM42 juta dipindahkan dari bekas anak syarikat 1MDB ke dalam akaun Datuk Seri Najib Tun Razak, kata seorang ahli panel yang menyiasat fail kes suruhanjaya tersebut.

Namun cadangan SPRM untuk melakukan siasatan lanjut ditolak Peguam Negara, kata ahli panel Datuk Lim Chee Wee kepada Reuters.

Loading...

Najib yang juga bekas perdana menteri konsisten menafikan salah laku berkaitan dakwaan rasuah membabitkan 1MDB dan menegaskan RM2.6 bilion yang didepositkan ke dalam akaun bank miliknya adalah sumbangan kerajaan Arab Saudi.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berikrar untuk menyiasat kes 1MDB dan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang mungkin bersubahat atau mendapat kepentingan daripada penyelewengan rasuah itu.

Chee Wee berkata Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali telah dimaklumkan mengenai penemuan bukti oleh SPRM pada lewat 2015 bahawa Najib menerima RM42 juta daripada bekas anak syarikat 1MDB, SRC International.


Apandi bagaimanapun enggan meneruskan siasatan, dakwa Chee Wee.

"AG (Peguam Negera) enggan menyiasat lebih lanjut meskipun bukti menunjukkan Najib menerima secara langsung atau tidak wang RM42 juta daripada SRC."

Chee Wee dan seorang lagi ahli panel, Prof Madya Dr P.Sundramoorthy, seorang ahli kriminologi dari Universiti Sains Malaysia (USM) juga berkata Apandi menolak permintaan berulang kali SPRM untuk mendapatkan bantuan undang-undang daripada kerajaan asing bagi mengesan kehilangan dana daripada 1MDB.

Jelas Chee Wee, mereka tidak dapat mengesan wang tersebut kerana ia berada di luar negara.

"Kami terus beritahu AG... sila mohon bantuan undang-undang dari bidang kuasa lain untuk kami mengetahui jejak wang dalam bidang kuasa tersebut.

“Kami tahu pergerakan wang di Malaysia, tetapi apabila ia meninggalkan Malaysia, kami tidak tahu di mana wang itu pergi, " kata Chee Wee.

"Berdasarkan siasatan panel, kami merasakan kes itu tidak sepatutnya ditutup kerana ada maklumat yang mengatakan bahawa kes itu boleh disiasat lanjut," kata Sundramoorthy.

Bagaimanapun, beliau berkata dirinya tidak ingat jumlah yang disyaki oleh SPRM yang diterima Najib daripada SRC.

Najib atau jurucakapnya gagal dihubungi melalui telefon untuk memberi komen berhubung laporan ini.

-my metro

No comments

Loading...