Header Ads

Loading...

Takkanlah Dr Mahathir Tak Tahu - Abdul Hadi


PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyindir tindakan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) membubarkan sementara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Beliau berkata, Dr Mahathir yang cukup berpengalaman dalam politik sepatutnya sudah faham dengan keperluan ROS bagi meluluskan parti yang diketuainya itu.

“Saya pun hairan juga apabila beliau mempersoalkan keputusan dibuat ROS,sebagai orang lama dan pernah menjadi Perdana Menteri, takkanlah beliau tidak tahu kaedah untuk daftar. Kita kena ikutlah syarat ditetapkan, jika tak kena dengan syarat, bagaimana mereka nak luluskan.


Loading...

“Benda macam ini sama juga apabila orang nak pergi daftar lori yang dia guna untuk angkut barang di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), lori baharu tapi tayar tidak ada bunga, jadi bagaimana nak lulus JPJ,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Pilihan Raya: PAS Teraju Pahang di Padang Awam Cenderawasih, dekat sini, malam tadi.

Kira-kira 2,000 penyokong PAS hadir pada majlis berkenaan.

Turut hadir, Pesuruhjaya PAS negeri, Rosli Abdul Jabar; Naib Ketua Dewan Muslimat PAS, Salamiah Mohd Nor; dan Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi.

Minggu lalu, Ketua Pengarah ROS, Surayati Ibrahim mengeluarkan perintah pembubaran sementara PPBM mengikut Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan 1966, Khamis lalu dan memberikan tempoh 30 hari kepada parti berkenaan melengkapkan butiran diperlukan.

Pakatan pembangkang turut memutuskan untuk menggunakan logo dan simbol Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada PRU14 kali ini.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai senarai calon PAS bagi semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen, Abdul Hadi berkata, pengumuman rasmi akan dilakukan pada 19 April ini pada majlis khas di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, Temerloh.


No comments

Loading...