Header Ads

Rosmah Minta Anak Muda Galas Tanggungjawab Bawa Malaysia Ke Tahap Lebih Tinggi


PUTRAJAYA – Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor meminta golongan muda supaya bersedia untuk menerima dan menggalas tanggungjawab yang lebih besar demi membina Malaysia sebagai sebuah negara yang lebih maju dan makmur pada masa hadapan.

Beliau berkata anak muda perlu sedar bahawa mereka adalah bakal pemimpin yang akan meneruskan usaha membangun negara dengan lebih cemerlang.

Ketika berucap pada majlis Ramah Mesra Bersama Kepimpinan Mahasiswa Nasional (Pemanas) dan Aktivis Belia Malaysia (Malaya), Rosmah berkata beliau amat berharap anak-anak muda hari ini akan berjaya dalam bidang yang diceburi mereka.


Loading...

“Jadilah pemimpin dalam pelbagai lapangan dan mampu mengemudi negara ke tahap yang lebih tinggi lagi,” katanya kepada kira-kira 300 mahasiswa itu di Seri Perdana hari ini.

Rosmah berkata umum mengetahui bahawa gabungan parti pemerintah Barisan Nasional (BN) sememangnya komited dalam memastikan kesejahteraan dalam kalangan anak-anak muda.

“BN akan memastikan kehendak dan aspirasi golongan muda terutamanya dalam aspek kerjaya, pemilikan kediaman dan latihan kemahiran terus dipenuhi bagi memastikan tiada golongan yang terpinggir daripada arus pembangunan negara,” katanya.

Beliau berkata keprihatinan BN terhadap keperluan golongan muda bukan tindakan bermusim malah dilaksanakan sejak dahulu lagi.

Dalam pada itu, Rosmah meminta golongan muda supaya terus menyampaikan idea, input kreatif dan kritis terhadap UMNO yang menunjangi BN agar parti itu terus kekal relevan dan menjadi sandaran rakyat.

“Segala cadangan dan idea saudara-saudari sekalian amat penting di dalam memastikan kerajaan BN mampu mentadbir dengan lebih baik pada hari ini dan masa depan,” kata beliau.

—BERNAMA

No comments

Loading...